ANGGOTA AADK melakukan pemeriksaan ujian air kencing kepada pemandu yang ditahan dalam Ops Tahun Baru AADK.
Oleh Aizat Sharif


Padang Besar: Bimbang ujian air kencing menunjukkan mereka positif dadah, tiga lelaki nekad memecut kenderaan dengan meninggalkan kad pengenalan pada anggota penguat kuasa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam dua kejadian berasingan di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (KIK) Padang Besar, di sini.

Dalam kejadian tengah hari kelmarin, seorang lelaki berusia 23 tahun yang menaiki sebuah kereta ditahan anggota AADK Perlis di sempadan Malaysia-Thailand di Kompleks KIK berkenaan.

Penolong Pengarah (Penguatkuasaan dan Keselamatan) AADK negeri Chairi Ersyad Arshad berkata, pihaknya meminta kad pengenalan lelaki itu untuk diperiksa dan mengarahkannya meletakkan kenderaan di kawasan berhampiran untuk ujian saringan awal air kencing.

“Bagaimanapun, lelaki berkenaan terus memecut kenderaan ke Thailand ketika kad pengenalannya berada pada anggota penguat kuasa dipercayai kerana bimbang ujian saringan awal air kencing terbabit positif dadah.

“Perkara sama berlaku hari ini (semalam) apabila dua lelaki dalam lingkungan 30 tahun memecut laju ke Thailand selepas diarahkan melakukan ujian saringan awal air kencing oleh anggota AADK tanpa sempat menuntut semula kad pengenalan mereka,” katanya ketika ditemui selepas melakukan pemeriksaan dalam sekatan jalan di Kompleks KIK Padang Besar, semalam.

Seramai 208 orang diperiksa membabitkan 168 warga Malaysia dan 40 warga asing dengan 18 daripada mereka didapati positif dadah seperti syabu, ganja serta morfin.

Operasi turut mendapat kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar dengan kekuatan 25 pegawai dan anggota daripada kedua-dua agensi terbabit.

Menurutnya, dalam operasi sama, pihaknya menahan sepasang kekasih berusia lingkungan 20 tahun yang menggayakan pakaian seperti ‘hippies’ kerana menagih dadah jenis ganja.

“Mereka ditahan dalam sebuah kereta ketika mahu ke Thailand, malah mereka tanpa segan silu turut mengakui memang mengambil ganja sebagai gaya hidup sebelum ujian saringan awal air kencing dilakukan,” katanya.

Beliau berkata, mereka yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah 1983 sabit kesalahan boleh ditahan di pusat serenti terdekat untuk proses pemulihan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 January 2016 @ 8:06 AM