TINJAUAN di beberapa lokasi penjualan gajet terkemuka di ibu kota mendapati lokasi berkenaan masih mendapat tempat di hati pengguna biarpun tercalar dengan beberapa insiden baru-baru ini.
TINJAUAN di beberapa lokasi penjualan gajet terkemuka di ibu kota mendapati lokasi berkenaan masih mendapat tempat di hati pengguna biarpun tercalar dengan beberapa insiden baru-baru ini.
Oleh Asmah Rusman


Kuala Lumpur: Pusat teknologi maklumat (ICT) MARA Digital akan dibuka di Damansara dan Anggerik Mall, Shah Alam sebelum Jun ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selain dua pusat ICT berkenaan, sebuah pusat aduan pelanggan dibuka serta-merta hari ini (semalam) di MARA Digital, Menara MARA Jalan Raja Laut bagi melindungi hak pengguna selain memastikan peralatan yang dijual tulen.

“Kita sudah kenal pasti lokasi di Damansara dan dijangka dibuka pada Mac atau April nanti manakala di Shah Alam, kita tetapkan Anggerik Mall sebagai lokasi MARA Digital Negeri Selangor.

“Kewujudan MARA Digital di lokasi berkenaan turut membantu peniaga lain meningkatkan jualan mereka, malah saya difahamkan jualan di sini (Menara MARA Jalan Raja Laut) meningkat antara 30 hingga 50 peratus,” katanya selepas mengadakan lawatan di MARA Digital Kuala Lumpur, semalam.

Ditanya mengenai persaingan bakal dihadapi lokasi MARA Digital di Anggerik Mall yang terletak berdekatan dengan Plaza Alam Sentral, Ismail berkata, akan wujud persaingan sihat dan ia pasti memberi kebaikan kepada pengguna.

“Saya rasa lebih banyak persaingan lebih baik untuk pengguna. Saya sebagai menteri yang menjaga hal ehwal pengguna satu ketika dulu merasakan lebih banyak persaingan, lebih baik untuk pengguna kerana akhirnya pengguna mendapat faedah.

“Apabila banyak persaingan, maka peniaga akan bersaing untuk memberikan servis yang terbaik, produk bermutu dengan tawaran harga termurah,” katanya.

Mengulas mengenai pusat aduan pelanggan yang dibuka semalam, Ismail berkata, pihaknya akan menugaskan pegawai dari MARA Incorporated untuk mengendalikan pusat aduan berkenaan yang akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

“Selain menerima aduan dan rasa tidak puas hati terhadap servis atau produk yang dijual di sini, pelanggan juga boleh mendapatkan maklumat atau apa saja mengenai MARA Digital di pusat aduan berkenaan.

“Kehadiran KPDNKK di pusat aduan itu juga bertujuan memantau penjualan produk yang tidak tulen kerana dari awal lagi kita sudah tegaskan tagline kita ‘authentic dan genuine’ yang bukan semata-mata murah dan mampu menarik minat pelanggan, yang penting ia bukan tiruan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 January 2016 @ 5:06 AM