WAN Abdul Rahim (kopiah hitam) mengadakan sidang media mengenai perkembangan semasa AMANAH.
Oleh Ismail Muhamad


Kota Bharu: Anak lelaki sulung bekas Mursyidul Am PAS Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat masih belum menjadi ahli Parti Amanah Negara (AMANAH).

Perkara itu disahkan Pengerusi AMANAH Kelantan Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah yang memberitahu tidak menerima borang pendaftaran keahlian Nik Omar yang juga Pengetua Maahad Tahfiz Darul Annuar, Pulau Melaka.

“Saya mengesahkan bahawa Ustaz Nik Omar belum berdaftar sebagai ahli AMANAH, sekali gus menyangkal laporan media beberapa hari ini yang mengatakan beliau ahli parti.

“Kami sebaliknya memahami dilema dihadapi Ustaz Nik Omar dan kedudukan keluarganya. Malah tiada desakan daripada mana-mana pihak mengenai hal ini.

“Cuma yang boleh saya katakan bahawa beliau belum berdaftar sebagai ahli AMANAH,” katanya dalam sidang media, semalam.

Nik Omar sebelum ini dikatakan menyertai AMANAH dan didakwa muncul dalam beberapa program parti itu, malah beliau juga dikhabarkan akan dilantik sebagai Pengerusi Panel AMANAH Kelantan.

Dalam pada itu, Wan Abdul Rahim menafikan kehadiran parti itu di Kelantan untuk menjatuhkan PAS sebaliknya sedia berunding dengan pimpinan parti berkenaan dalam usaha memastikan Kelantan tidak jatuh ke tangan UMNO dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.

Katanya, sebelum ini sudah membuat tawaran rundingan itu, namun tiada mana-mana pemimpin negeri tampil untuk menyatakan persetujuan rundingan.

“Kita umpama mengejar gadis cantik, tapi dia tak beri apa-apa maklum balas (untuk berunding). Dalam tempoh empat bulan ini tidak ada seorang pun pemimpin PAS dari nombor satu hingga nombor 10 hubungi saya untuk berunding.

“Apapun, kita akan tetap bersedia membincangkan perkara ini dan terbuka dengan PAS asalkan Kelantan tidak ditawan UMNO dalam PRU-14 nanti,” katanya.

Sebelum ini, Pesuruhjaya PAS Kelantan yang juga Menteri Besar Datuk Ahmad Yakub pernah dilapor berkata, PAS tidak akan menjalin kerjasama dengan Gerakan Harapan Baru (GHB), yang kini membentuk AMANAH di negeri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 January 2016 @ 5:20 AM