SITI Hanisah (kanan) bersama rakan di atas salah satu puncak gunung yang ditawan
Oleh Hayati Ibrahim


Putrajaya: Pendaki negara Siti Hanisah Sharuddin, 26, akan mendaki Gunung Aconcagua, Argentina 14 Januari ini untuk melengkapkan pendakian menjejakkan kaki ke tujuh puncak gunung tertinggi di tujuh benua dunia menerusi misi Kelab Eksplorasi Tujuh Benua Malaysia (KE7B) Srikandi 7 Benua.

Misi di bawah kelolaan KE7B dan mendapat sokongan tajaan daripada IM4U itu bertujuan mencapai sasaran menjadi pendaki wanita Malaysia pertama mencapai puncak tujuh gunung tertinggi di tujuh benua.

Ketika ini, Siti Hanisah atau lebih dikenali sebagai Anis sedang mendaki Gunung Aconcagua, Argentina, iaitu puncak tertinggi di Benua Amerika Selatan dengan ketinggian 6,962 meter, selepas berjaya menawan puncak tertinggi di benua Afrika iaitu Gunung Kilimanjaro, puncak Elbrus di Benua Eropah, puncak Kosciuszco di Benua Australia dan Gunung Everest di Benua Asia.

Presiden KE7B Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin berkata, Anis dijangka tidak berdepan banyak masalah untuk ke puncak Aconcagua kerana sudah melakukan persiapan dan latihan berterusan.

“Anis kini hanya perlu memberi tumpuan kepada tiga lagi puncak gunung iaitu McKinley di Benua Amerika Utara, Vinson Massif di Benua Antartika dan Aconcagua untuk melengkapkan misinya.

“Sekiranya berjaya dia bakal mencipta satu lagi sejarah untuk negara ini juga membuktikan Malaysia juga mampu melahirkan seorang pendaki wanita yang berjaya menawan tujuh puncak tertinggi di tujuh benua dunia,” katanya.

Turut bersama mengiringi pendakian Anis ke puncak Aconcagua ialah seorang pendaki dari Johor iaitu Mohd Khafiz Bachok.

Sebelum ini, Siti Hanisah sudah memegang rekod sebagai pendaki Everest Malaysia Termuda menawan puncak tertinggi di dunia itu pada 2013 di usia 23 tahun.

Katanya, mereka memulakan pendakian pada 30 Disember lalu dari Puente Del Inca (2,725 meter) menuju ke Kem Confluencia iaitu kem pertengahan menuju Kem Induk di Plaza De Mulas pada ketinggian 4,260 meter.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 January 2016 @ 5:39 AM