IKAN belanak ditemui mati di Sungai Balok Makmur dan Sungai Tonggak, semalam.
Oleh Khairulmizan Yahya

Kuantan: Selepas kejadian Sungai Balok, di sini, yang bertukar merah dipercayai akibat pencemaran bauksit minggu lalu, penduduk di kawasan itu sekali lagi gempar apabila ratusan ikan mati di Sungai Tonggak yang bersambung ke sungai berkenaan, semalam.

Situasi itu menimbulkan kegusaran dan persoalan di kalangan penduduk sama ada kejadian itu ada kaitan dengan fenomena ‘laut merah’ atau pencemaran sisa kilang dari Kawasan Perindustrian Gebeng, di sini.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Balok Makmur Abdul Rahman Ali berkata, kejadian itu disedari penduduk setempat jam 7.30 pagi ketika air surut dan mereka terkejut melihat ratusan ikan belanak terdampar di tengah sungai berkenaan.

“Memang sungai ini keruh dan merah pada hari sebelumnya, tetapi setahu saya tiada ‘stockpile’ (tempat penyimpanan) bauksit di sepanjang sungai ini dan mungkin kekotoran di jalan mengalir ketika hujan.

“Saya tidak tahu punca sebenar kejadian itu, tapi dan minta pihak berkuasa siasat,” katanya.

Penduduk, Ab Razak Musa, 56, dari Taman Seberang Balok, di sini, berkata, kejadian itu kali kedua berlaku sejak empat tahun lalu, tetapi kali ini jumlah ikan mati lebih banyak.

“Ada penduduk gemar menjala selain kanak-kanak yang memancing, tetapi selagi kami tidak tahu apa punca kejadian ini, kami terus dibelenggu kebimbangan,” katanya.

Katanya, keputusan ujian terhadap sampel ikan dan air sungai itu penting supaya tidak timbul spekulasi terutama ketika isu bauksit hangat diperkatakan.

Sementara itu, Pengarah Perikanan Pahang, Adnan Hussain berkata, pihaknya menghantar pegawai ke lokasi kejadian untuk menyiasat susulan aduan orang ramai.

“Pemerhatian mendapati memang ada ikan belanak mati di sungai berkenaan, tetapi jumlahnya kecil dan mungkin dihanyutkan air ketika pegawai kami tiba.

“Tiada ikan besar mati, hanya ikan kecil dan keadaan ini cuma berlaku di Sungai Tonggak, tanpa membabitkan sungai lain.

“Kejadian ini disahkan tiada kaitan dengan kelodak dan lumpur tapi siasatan lanjut diteruskan, mungkin dalam tempoh seminggu laporan penuh siap.

“Kami mengambil sampel air dan menguji beberapa parameter seperti kadar oksigen terlarut, tahap kekeruhan air dan nilai pH air di kawasan terbabit dan setakat ini ia bukan kejadian luar biasa,” katanya, di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 January 2016 @ 6:06 AM