Muhammad Ajmal Nawfal

Kuala Lumpur: Luluh hati seorang ibu apabila mengetahui anak bongsunya menghidap penyakit kegagalan fungsi hati (Biliary Atresia) tahap kronik dan memerlukan pembedahan segera bagi menyelamatkan nyawanya.

Itu dugaan terpaksa ditanggung Sayunawati Yahya, 34, selepas pakar perubatan mengesahkan Muhammad Ajmal Nawfal Mohd Rizal, 12 bulan menghidap penyakit berkenaan ketika berusia 63 hari.

Kisah bayi malang itu menjadi viral di laman sosial sejak tiga minggu lalu dalam usaha mendapatkan sumbangan dan penderitaannya meraih simpati ramai.

Berkongsi pengalaman pahitnya, Sayunawati berkata, dia mula mengesan sesuatu tidak kena terhadap kesihatan Muhammad Ajmal Nawfal apabila bibir anaknya pucat dalam tempoh panjang sejak dilahirkan dan doktor mengesahkan anaknya mempunyai masalah kegagalan fungsi hati.

“Muhammad Ajmal Nawfal dimasukkan ke hospital dan menjalani pembedahan buang saluran dan hempedu tersumbat serta membuat pintasan dari hati ke usus besar menggunakan usus kecil.

“Malangnya, selepas tiga bulan pembedahan itu bacaan jaundis (kuning) pada anak meningkat mencecah 400,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, doktor mencadangkan anaknya menjalani rawatan pemindahan hati, tetapi ia membabitkan kos tinggi mencecah RM250,000.

Katanya, ketika ini anaknya menjalani rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sejak 7 Disember lalu, selain dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) berikutan komplikasi muntah dan buang air besar berdarah.

“Keadaan anak semakin teruk dan bacaan jaundis terkininya mencecah 1,032, seluruh tubuh badan, mata dan air matanya berwarna kuning,” katanya.

Katanya, sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank, 556235308636 (Sayunawati) dan CIMB 7016156556 (Mohd Rizal) atau hubungi 012 962 0719 (Sayunawati).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 January 2016 @ 10:39 AM