Kebakaran lalang di negeri ini meningkat berikutan cuaca panas dan fenomena El Nino yang berlaku sejak penghujung bulan lalu.

Alor Setar: Pembuangan puntung rokok di tepi lebuh raya boleh mengakibatkan kebakaran besar yang berpunca akibat rumput kering ketika negara ini mengalami cuaca panas atau fenomena El Nino.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Penguasa Kanan Bomba I Nazri Zakaria berkata, membuang puntung rokok yang masih bernyala di tepi jalan boleh menyebabkan api cepat merebak terutama ketika dalam keadaan panas terik.

Berikutan itu katanya, pihaknya menjangkakan kes kebakaran lalang, belukar dan kebun akan terus meningkat berikutan keadaan cuaca panas terik yang berlaku awal tahun ini.

Katanya, pihaknya menerima 64 kes kebakaran membabitkan lalang, belukar dan semak dalam tempoh 10 hari sehingga semalam di mana ia menunjukkan peningkatan kes lalang, sampah dan belukar berbanding tahun lalu iaitu 139 kes dalam tempoh sebulan.

“Berikutan itu, semua anggota di 16 balai di negeri ini bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan berlaku memandangkan keadaan cuaca yang panas atau fenomena El Nino yang melanda negara ini menyebabkan daun dan rumput kering.

Nazri berkata, pihaknya memberi tumpuan di Gunung Jerai, Kulim, Bukit Kayu Hitam, Padang Terap dan Serdang yang sering berlaku kebakaran lalang, belukar dan sampah setiap tahun.

Beliau berkata, pembakaran terbuka yang tidak dikawal juga boleh menjadi penyebab berlakunya kebakaran selain pembakaran kebun yang boleh menyebabkan api merebak dengan cepat disebabkan cuaca panas yang berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2016 @ 8:25 AM