Nelayan pantai, Amin Awang, 48 menjala ikan dipersisir pantai Batu Hitam yang keruh akibat aktiviti bauksit di kawasan Felda Bukit Goh menyukarkannya mendapat ikan.
Oleh Noor Atiqah Sulaiman
am@hmetro.com.my

Putrajaya: Pelombongan bauksit yang turut mencemarkan laut di sekitar Kuantan, Pahang didapati menjejaskan pendapatan kira-kira 500 nelayan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, kebanyakan nelayan yang terjejas beroperasi di sekitar kawasan Beserah dan berdekatan dengan pelabuhan.

Menurutnya, pihaknya tidak meletakkan tempoh masa untuk menyelesaikan masalah itu sehinggalah soal pengurusan bauksit dapat diselesaikan dengan baik oleh pihak berwajib.

“Itu adalah laporan yang pihak kementerian terima mengenai kegiatan di tepi pantai dan kita berharap ia dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementeriannya, di sini semalam.

Sebelum ini, media melaporkan pendapatan nelayan dan petani terjejas akibat aktiviti perlombongan bauksit serta fenomena ‘laut merah’ di pesisir pantai Pantai Balok ke Pantai Batu Hitam

Malah Kabinet turut mengarahkan aktiviti perlombongan bauksit di Pahang dihentikan selama tiga bulan berikutan bantahan penduduk serta risiko pencemaran.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Shabery berkata, pihak kementerian sudah bersedia untuk menghadapi fenomena cuaca El-Nino.

“Malah kita juga akan membekalkan pam air untuk menangani tanaman yang memerlukan banyak air seperti padi. Pam air berkenaan dapat membantu dari tanaman itu terus kering,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2016 @ 8:42 AM