DR Zulkifli

Kuala Lumpur: Polemik pengharaman vape oleh Muzakarah Khas Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam yang tidak dapat dilaksanakan di peringkat negeri kerana hal ehwal Islam berada di bawah bidang kuasa negeri hanyalah bersifat teknikal dan tidak boleh dianggap nasihat semata-mata.

Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, kebiasaannya keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan akan menjadi panduan di peringkat negeri dan ia mengambil masa sebelum diwartakan menjadi undang-undang.

“Ahli Majlis Fatwa Kebangsaan terdiri daripada mufti negeri dan secara asasnya kami semua bersetuju dengan keputusan pengharaman vape.

“Cuma di negara kita, ia lebih kepada teknikal apabila hal ehwal Islam berada di bawah bidang kuasa Sultan serta ia perlu dibincangkan sekali lagi di peringkat negeri untuk diwartakan dan mereka berhak untuk menerima atau menolak sesuatu keputusan di peringkat pusat,” katanya, semalam, mengulas dakwaan pengharaman vape bersifat nasihat.

kerana tidak dapat dilaksanakan di peringkat negeri.

Menurutnya, masalah berkenaan memerlukan perbincangan lanjut serta mengambil masa untuk diselaraskan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memainkan peranan penting menjadi penghubung antara negeri dengan peringkat pusat.

Ketua Kluster Tadbir Urus, Perundangan dan Pengurusan Awam Majlis Profesor Negara Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan mengenai sesuatu isu secara mudahnya boleh difahami sebagai pendapat dari segi hukum agama dan jika diputuskan haram ia akan berdosa jika dibuat, namun ia tidak mengikat negeri untuk melaksanakannya.

Katanya, fatwa yang diputuskan tidak boleh dilaksanakan terus sebagai undang-undang kerana ia perlu menjadi enakmen terlebih dulu dan diwartakan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Hal ehwal Islam di bawah bidang kuasa negeri dan ia perlu diputuskan sekali di peringkat negeri walaupun pendapatnya mungkin sama dengan pusat.

“Proses ini mengambil masa dan mekanisme berbeza di setiap negeri untuk sesuatu keputusan fatwa diwartakan sebagai undang-undang sebelum boleh dikenakan tindakan terhadap pesalah terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2016 @ 8:53 AM