Abdullah menunjukkan susu getah yang semakin berkurangan sejak sebulan lalu ekoran keadaan cuaca panas.
Oleh Zuliaty Zulkiffli

Padang Terap: Cuaca panas akibat fenomena El Nino turut memberi kesan kepada penoreh getah apabila susu getah yang ditoreh cepat kering menyebabkan pendapatan mereka terjejas.

Bagi mengatasi masalah itu mereka terpaksa keluar awal pagi untuk menoreh bagi mendapatkan susu getah yang banyak.

Penduduk Abdullah Ani, 55, berkata, setiap hari dia menoreh bersama anak dan ibunya 450 pokok, tetapi kecewa apabila getah ditoreh berhenti mengeluarkan susu dalam tempoh 30 minit berbanding dua atau tiga jam sebelum ini.

Katanya, biasanya tiga bekas kecil mampu menghasilkan satu kilogram (kg) getah beku berbanding sekarang apabila dia hanya mampu mengumpul sembilan bekas yang sama untuk satu kg.

“Disebabkan itu, saya perlu keluar awal pada jam 6.30 pagi untuk menoreh sebelum matahari terbit bagi mengelakkan susu cepat kering berbanding jam 7 pagi sebelum ini.

“Sebelum ini kalau menoreh, dua tiga hari kemudian getah beku boleh dikumpul untuk dijual namun sejak menoreh Sabtu lalu, getah yang terkumpul tidak penuh dalam setiap bekas.

“Kami hanya mampu menjual 120kg getah beku dengan hasil RM180 berbanding sebelum ini mampu mengumpul mencecah 200kg dengan hasil RM300,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Cenderai, di sini, semalam.

Abdullah berkata, dia bimbang sekiranya suhu panas terus meningkat, berkemungkinan besar pengeluaran susu getah ditoreh akan turun lebih lambat menyebabkan pendapatan mereka terjejas.

“Harga getah sekarang murah iaitu RM1.90 sekilo berbanding RM7.00 sebelum ini, namun kami bersyukur kerana dapat mengumpul getah beku untuk menyara kehidupan keluarga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2016 @ 9:11 AM