ANITA kini berada di Peru.
Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

Kuala Lumpur: Selepas hampir empat bulan, penunggang motosikal Anita Yusof, 49, yang mengembara secara solo ke seluruh dunia kini berada di Peru, Amerika Selatan.

Ibu kepada dua anak yang juga pensyarah Sains Sukan dan Jabatan Fizikal di Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh itu berjaya menamatkan misi pengembaraan sejauh 23,000 kilometer (km) sejak 16 September lalu.

Anita berkata, meskipun beberapa kali terpaksa berdepan dengan cabaran cuaca tidak menentu di sepanjang perjalanan, namun setakat ini misi tunggangan solonya berjalan lancar.

“Saya berdepan cuaca sejuk melampau ketika berada di Kanada dan Alaska hingga menjejaskan kesihatan, mujurlah ia tidak berpanjangan.

“Paling mencabar, saya berdepan angin kuat ketika menunggang di Mexico baru-baru ini kerana negara berkenaan dilanda taufan dan terperangkap dalam kabus tebal sewaktu melewati Ecuador.

“Namun, semua cabaran itu tidak mematahkan semangat untuk meneruskan misi dan menjadi penunggang motosikal wanita Islam pertama yang mengembara ke seluruh dunia secara solo,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurut Anita, dia bertuah kerana motosikal yang digunakan iaitu Yamaha FZ 150 tajaan Yamaha Motor (Malaysia) tidak mengalami sebarang kerosakan besar sepanjang pengembaraan berkenaan.

Selain itu, dia terharu dengan layanan mesra kakitangan Kedutaan Malaysia di Lima, Peru yang menerima kedatangan dengan tangan terbuka meskipun tanpa temujanji awal.

“Kakitangan kedutaan itu terutama duta Malaysia ke Lima, Datuk Ayauf Bachi dan pegawainya bertungkus-lumus membantu dalam mendapatkan visa Bolivia bagi membolehkan saya memasuki negara berkenaan.

“Sebelum ini, saya sudah mencuba beberapa kali tetapi tetap gagal kerana berdepan banyak halangan dan kerenah birokrasi,” katanya.

Sementara itu, Anita memulakan misi menunggang motosikal secara solo 16 September lalu untuk menjelajah ke empat benua iaitu Amerika Utara, Amerika Selatan, Eropah dan Asia.

Perjalanan wanita berasal dari Batu Pahat, Johor itu merentasi 39 negara sejauh 56,000 km bermula di Seattle, Amerika Syarikat dan dijangka kembali ke negara ini pada 16 September depan sempena sambutan Hari Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 January 2016 @ 8:40 AM