RAMPASAN gamat yang direndam dalam air garam.

Empat awak-awak dan seorang tekong warga Vietnam ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) ketika menangkap gamat di perairan negara, Selasa lalu.

Mereka berusia 25 tahun hingga 56 tahun direman 14 hari bermula kelmarin untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap hidupan laut tanpa kebenaran sah.

Jika sabit kesalahan, bot digunakan boleh dirampas, tekong didenda maksimum RM1 juta manakala denda sehingga RM500,000 bagi setiap awak-awak.

Pengarah Operasi Daerah Maritim (DM) 10 Tok Bali Komander Maritim Ismail Hamzah berkata, pihaknya merampas 150 kilogram gamat dianggarkan bernilai RM15,000.

“Ketika kejadian, bot Penggalang 18 DM 10 diketuai Bintara Muda Kamarulzaman Zakaria bersama lima anggota terserempak dengan bot bernombor pendaftaran CM 99490 TS dinaiki mereka 37.4 batu nautika dari timur laut pantai Tok Bali.

“Menyedari kehadiran penguat kuasa, tekong bot memecut untuk melarikan diri, namun dipintas. Pemeriksaan ke atas bot mendapati tiada tangkapan ikan atau lain-lain hidupan laut melainkan gamat,” katanya.

Ismail berkata, semua nelayan asing itu ditahan dan bot mereka ditunda ke jeti Tok Bali, di sini, jam 8 malam, Rabu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2016 @ 7:08 AM