NAJIB bersama pelabur Koridor Utara selepas Mesyuarat Majlis NCIA Ke-15, semalam.
Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my


Putrajaya: Wilayah Ekonomi Koridor Utara (Koridor Utara) mencapai kejayaan signifikan apabila melepasi sasaran Indeks Prestasi Utama (KPI) dengan meraih pelaburan swasta RM12.5 bilion sepanjang tahun lalu, berbanding RM10 bilion yang ditetapkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Datuk Redza Rafiq berkata, pencapaian mantap selama 40 tahun dalam sektor perkilangan serta kelengkapan kemudahan asas dan tenaga kerja berkemahiran tinggi menjadi faktor tarikan kemasukan pelabur berpotensi tinggi ke Koridor Utara.

“Antara kejayaan NCIA tahun lalu ialah mewujudkan 11,835 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan, selain mencapai 83 peratus dalam indeks kepuasan rakyat.

“NCIA sentiasa konsisten dalam melaksanakan tanggungjawab dan peranannya sebagai pembolehcara serantau, malah selalu mencapai KPI disasarkan,” katanya pada Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Program di Koridor Utara selepas Mesyuarat Majlis NCIA Ke-15 yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng manakala Kedah diwakili Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi Kedah, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail.

Redza berkata, Koridor Utara yang merangkumi 22 daerah di Kedah, Utara Perak, Perlis dan Pulau Pinang meneruskan agenda negara selaras Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Tranformasi Kerajaan (GTP).

Menurutnya, melalui pembangunan empat sektor teras iaitu pertanian, pembuatan, pelancongan dan logistik, pihaknya sentiasa memacu perkembangan sektor yang turut disokong pembangunan modal insan dan perkhidmatan sokongan yang sedia ada.

Sementara itu, perjanjian antara NCIA dan empat syarikat swasta bagi melaksanakan projek inisiatif berpotensi tinggi di empat negeri di wilayah Koridor Utara dengan keseluruhan pelaburan RM1.3 bilion.

Syarikat berkenaan ialah Great Realty Sdn Bhd yang diwakili Pengarah Urusannya, Datuk Sonny Ho Kiong Chan, Duria Manufacturing Sdn Bhd pula diwakili Pengarah Urusannya Wong Woei Meng, Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Perlis oleh Pengarahnya, Shaidan Nordin dan Tandop Hotel Sdn Bhd diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Low Wey Heng.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2016 @ 7:07 AM