Mohamad Akhbar bersama bapa, Ali Talib, 54, dan ibunya, Zubaidah Lee Mat, 53, menunjukkan Pingat Emas Canselor yang diterimanyapada Majlis Konvokesyen ke-18 MSU, semalam.
Oleh Icka S Hassan
hmetroshahalam@hmetro.com.my

Shah Alam: Tanggapan serong terhadap pakar lelaki dalam rawatan sakit puan sedikitpun tidak menghalang Mohamad Akhbar Ali, 27, untuk merealisasikan cita-citanya dalam bidang berkenaan.

Lebih manis apabila Mohamad Akhbar terpilih menerima anugerah Pingat Emas Canselor pada Majlis Konvokesyen ke-18 Management & Science University (MSU) di sini, semalam.

Menurutnya, ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan diterimanya itu adalah asas untuk dia meneruskan pengajian dalam bidang sakit puan yang diimpikan sejak kecil.

“Minat dalam bidang ini datang sejak saya kecil kerana gemar menonton rancangan berunsur kesihatan wanita di televisyen.

“Bermula dari situ, saya memasang impian menjadi pakar sakit puan supaya dapat membantu dan berkhidmat kepada ahli keluarga terutama ibu dan adik,” kata anak sulung daripada dua beradik itu.

Katanya, dia sedikitpun tidak bimbang dengan tanggapan negatif dilemparkan, malah menjadikannya sebagai tonik untuk membuktikan bahawa ia juga membawa kebaikan kepada masyarakat.

“Ramai tidak tahu bahawa lelaki juga pakar dan memahami pesakit wanita.

“Saya percaya doktor pakar yang beretika tidak akan melanggar peraturan, malah sentiasa dipercayai dan dihargai oleh pesakitnya,” katanya ketika ditemui, semalam.

Berbeza dengan TV Grace, 28, yang juga pemegang ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan, tidak berjaya menyambung pelajaran dalam bidang diminati di universiti awam menjadi pendorong untuk dia bangun seterusnya mencapai CGPA diidamkan.

Menurutnya, kegagalan sebelum ini tidak pernah mematahkan semangatnya untuk ke menara gading dan ia berbaloi apabila dinobatkan penerima Anugerah Cemerlang Mohd Syukri Yajid.

Katanya, dia bagaikan diberikan lilin dalam kegelapan dan peluang kedua diperoleh untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi swasta tidak disia-siakan.

“Ketika kali pertama memohon ke universiti, saya tidak diterima kerana tidak mencapai kehendak dan syarat ditetapkan hingga saya buntu dan hampir berputus asa.

“Kemudian saya menyambung pelajaran di sini, dan peluang itu tidak saya sia-siakan, sebaliknya dimanfaatkan untuk memastikan keputusan peperiksaan cemerlang. Ibu bapa inspirasi utama saya dalam pelajaran, malah pendorong semangat untuk saya belajar bersungguh-sungguh,” katanya.

Sementara itu, Presiden MSU Prof Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid berkata, seramai 1,910 graduan terdiri daripada ijazah Doktor Falsafah (PhD), Sarjana, Sarjana Muda dan Diploma menerima skrol menerusi tiga sidang.

Beliau berkata, majlis berkenaan turut menganugerahkan ijazah Doktor Kehormat Pengurusan (Honorary Doctorate in Management) kepada Presiden Athlone Institute of Technology (AIT) Prof Ciaran O Cathain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 January 2016 @ 5:08 AM