Nor Ain Syakira sebak ketika menyiram air ke pusara dua anak kembarnya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Panggung Lalat, Gua Musang.
Oleh Ramli Ibrahim

Gua Musang: “Kehidupan saya takkan sama, semuanya berubah sekelip mata,” kata Nor Ain Syakira Tomin, 19, ibu kepada kembar, Siti Nur Badrisya dan Siti Nur Raudah Abdul Rahman, 4, yang maut dalam kemalangan ngeri di Kilometer 25, Jalan Gua Musang - Kuala Krai dekat Bukit Sejuk, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, pasangan kembar itu meninggal dunia bersama empat ahli keluarga lain iaitu nenek, Madiah Drani, 49, menantunya, Noor Azila Yasin, 28, dan anaknya Muhammad Hadif Haykal, 1, selain anak Madiah, Nur Amira Adzudin, 23.

Mohd Hafiz Adzudin, 30, suami kepada Noor Azila patah tangan kanan dan dirawat di Hospital Gua Musang (HGM), di sini.

Semua jenazah selamat disemadikan masing-masing di Tanah Perkuburan Kampung Panggung Lalat dan Tanah Perkuburan Islam Tanah Rancangan Felda Chiku 2, di sini.

Nor Ain Syakira berkata, kesedihan masih menyelubungi diri dan sukar melupakan tragedi berkenaan.

“Mereka yang pertama dan kedua yang hadir dalam hidup saya. Saya tak tahu bagaimana saya mahu meneruskan kehidupan tanpa mereka.

“Apabila berada di rumah, saya akan sentiasa terkenang kenakalan mereka berdua. Bayangan itu masih segar terutama apabila mereka pergi mengejut begini.

“Saya tak boleh tengok pakaian mereka. Saya sedih,” katanya ketika ditemui pada majlis pengebumian anaknya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Panggung Lalat, malam kelmarin.

Nor Ain Syakira berkata, walaupun anaknya itu kerap mengunjungi rumah Madiah dan menetap di sana untuk tempoh beberapa hari, mereka akan tetap pulang ke pangkuannya apabila rindu.

Katanya, semua itu tidak akan berlaku lagi dan dia perlu tabah serta reda dengan kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2016 @ 8:31 AM