ADNAN (kiri) bermesra dengan sebahagian pelajar selepas pelancaran KYP dan Program SMART Tahfiz, semalam.
Oleh Syah Rul Aswari Abdullah

Kuantan: Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob akan mengadakan siri jelajah ke seluruh negeri bagi menjelaskan kepada rakyat Pahang berhubung isu perlombongan bauksit di negeri ini.

Beliau berkata, ia diadakan berikutan ada banyak laporan tidak tepat yang disiarkan media arus perdana selain disebarkan menerusi media sosial seperti aplikasi WhatsApp.

Katanya, jelajah itu akan menumpukan kepada daerah ini dan Indera Mahkota untuk menjawab semua persoalan terutama dakwaan pihak tertentu yang menyalahkan sepenuhnya kerajaan negeri dalam isu itu.

“Sudah sampai masanya saya buat jelajah memberi penerangan sebenar dalam isu bauksit ini.

“Ini bukan bermakna kita nak menafikan apa-apa yang sudah berlaku, cuma rakyat perlu tahu apa masalah dihadapi kerajaan negeri dalam menangani isu bauksit.

“Ini kerana 99 peratus masalah berpunca daripada pengusaha lombong haram,” katanya ketika berucap merasmikan penjenamaan semula Kolej Yayasan Pahang (KYP) dan Program SMART Tahfiz, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-Tugas Khas Pahang Datuk Norol Azali Sulaiman.

Dalam pada itu, Adnan berkata, proses penjenamaan semula KYP yang sebelum ini dikenali sebagai Kolej IKIP adalah sebagai usaha institut pengajian tinggi itu untuk mencapai status sebagai kolej universiti menjelang 2017.

Beliau berkata, selaras usaha itu, Yayasan Pahang akan membina kampus baharu KYP di Tanjung Lumpur, di sini, dengan kos RM30 juta pada Mac tahun ini.

Katanya, kampus baharu berkonsepkan ‘college by the lake’ dijangka siap pada Mac tahun depan boleh menampung sehingga 3,000 pelajar.

“Selain itu, dalam bidang kemahiran, sebuah lagi bangunan kampus turut dibangunkan bagi menempatkan program kulinari dan pastri bersebelahan kampus sedia ada di Kubang Buaya, di sini,” katanya.

Menurutnya, bilangan pensyarah KYP yang memiliki kelulusan doktor falsafah (PhD) juga dijangka meningkat daripada empat kepada 18 orang pada akhir 2017.

Katanya, kampus di Tanjung Lumpur akan memfokuskan kepada program diploma dan ijazah yang dibangunkan oleh KYP manakala kampus sedia ada di Taman Gelora akan menumpukan kepada kursus dijalankan secara usahasama atau francais.

“Ini kerana KYP dalam perancangan menambah kerjasama francais dengan universiti luar negara seperti Swinburne University, Australia; Salford University, United Kingdom dan International University Malaya-Wales dan Universiti Yarmouk, Jordan.

“Program francais ini bakal menawarkan kursus ijazah dan pascasiswazah yang akan menjadi laluan akademik kepada pelajar KYP sedia ada dan juga kepada golongan bekerja bagi menyokong pembelajaran sepanjang hayat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2016 @ 7:53 AM