ANGGOTA polis membuat pemeriksaan ke atas mayat lelaki yang ditemui di dalam kebun getah.
Oleh Adnan Ibrahim


Kluang: Mayat lelaki berusia 40-an dengan kesan empat jari tangan kanan dipercayai dikerat ditemui di sebuah kebun getah di tepi jalan menghala ke Pekan Niyor, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Muhamad Laham berkata, mayat lelaki tanpa dokumen pengenalan diri itu ditemui oleh orang awam kira-kira jam 1.10 tengah hari.

Beliau berkata, pihaknya yang menerima maklumat berkaitan penemuan itu kemudian menghantar anggota polis ke lokasi untuk membuat siasatan lanjut.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mayat lelaki berkenaan dalam keadaan telentang dihurungi semut, manakala empat jari tangan kanannya dipercayai dikerat dan hanya tinggal ibu jari saja.

“Pemeriksaan lanjut pada badan lelaki berkenaan mendapati tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom (HEBHKK) Kluang untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematiannya.

“Justeru itu, polis memohon orang ramai yang kehilangan ahli keluarga dalam tempoh dua tiga hari ini tampil untuk membuat laporan ke balai polis berhampiran,” katanya.

Menurut Muhamad, mayat berkenaan dipercayai sudah berada di kawasan berkenaan antara dua hingga tiga hari lepas dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang ada melihat sebarang kejadian mencurigakan dalam tempoh dua tiga hari lepas di kawasan mayat dijumpai turut dipohon tampil untuk menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 January 2016 @ 5:18 AM