ANGGOTA polis mengangkat mayat warga emas yang ditemui terbaring atas lantai rumahnya.
Oleh Asrizal Aris


Kampar: Sekumpulan sukarelawan sebuah universiti swasta tidak sempat menyerahkan bantuan kepada seorang warga emas yang tinggal bersendirian di Kampung Jeram, di sini, sebaliknya menemui mayat wanita itu, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 10.35 pagi, Mariatulkibtiyah Abdul Rahman, 85, ditemui kumpulan pelajar berkenaan terbaring di lantai dan sudah berbau serta dipercayai meninggal dunia seminggu lalu.

Seorang pelajar yang mahu dikenali sebagai Loong, 22, berkata, sebaik tiba di rumah warga emas terbabit mereka terhidu bau busuk dan menjangka sesuatu buruk berlaku selepas memanggil mangsa beberapa kali namun tiada sahutan.

“Saya mengumpil tingkap cermin sebelum terkejut melihat mangsa terbaring di lantai dalam keadaan yang sangat menyayat hati.

“Kami memberi bantuan sebagai sukarelawan kepada mangsa sejak kira-kira setahun lalu dan kali ini kami berjaya mengumpul sumbangan dari pelajar universiti serta ingin memberikan kepadanya namun hajat kami tidak kesampaian,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurutnya, sebelum ini beberapa pihak memujuk mangsa berpindah ke pusat jagaan warga emas namun dia enggan dan atas sebab itu, mereka secara sukarela memberi bantuan makanan kepadanya setiap bulan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kampar Superintendan Ng Kong Soon berkata, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dikesan di lokasi kejadian.

“Berdasarkan mayat yang sudah berbau, mangsa dipercayai meninggal dunia kira-kira seminggu lalu.

“Mayat dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian dan setakat ini kes diklasifikasi sebagai mati mengejut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 January 2016 @ 5:11 AM