MANGSA kebakaran menumpang di rumah keluarga di Kampung Disayang, Lupak Meluas di Batu Sapi, Sandakan.
KANAK-kanak dan penduduk kampung melihat rumah mereka yang terbakar.
ORANG ramai melihat api marak membakar kediaman masing-masing.
Oleh Hazsyah Abdul Rahman

Sandakan: Lebih 100 keluarga hilang tempat tinggal apabila perkampungan setinggan didiami mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Lupak Meluas, Jalan Batu Sapi, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11 malam, sebanyak 109 rumah musnah menyebabkan seramai 557 penghuni tinggal sehelai sepinggang.

Difahamkan, kebakaran dipercayai berlaku dari salah sebuah kediaman di perkampungan itu sebelum api merebak dengan pantas berikutan kedudukan rumah yang rapat antara satu sama lain.

Pada masa sama, tiupan angin kuat selain struktur rumah kebanyakannya diperbuat daripada papan menyebabkan api marak dengan cepat.

Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Mohd Affendy K Ramin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.03 malam sebelum mengarahkan 23 anggota bersama tujuh jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di tempat kejadian kira-kira 15 minit kemudian, bomba mendapati beberapa deretan rumah sedang terbakar.

“Anggota bomba segera menjalankan kerja mengawal api daripada terus merebak,” katanya.

Mohd Affendy berkata, ketiadaan pili bomba menyebabkan pihaknya terpaksa mendapatkan air dari parit berhampiran untuk memadamkan kebakaran.

“Tindakan pantas anggota bomba mengawal kebakaran berjaya mengelak api daripada merebak ke kilang berhampiran.

“Kebakaran dikawal pada jam 1.03 pagi dan api padam sepenuhnya pada jam 4.25 pagi,” katanya.

Menurut Mohd Affendy, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Malaysia Sabah Muliadi Al-Hamdi Ladin berkata, seorang lelaki berusia 20-an mengalami lecur ringan pada tangan kanan ketika cuba menyelamatkan barangan miliknya.

“JPAM memberi rawatan awal kepada mangsa dan kecederaan dialaminya tidak serius,” katanya.

caption

1. SEBAHAGIAN daripada 84 rumah perkampungan atas air di Kampung Lupak Meluas yang musnah terbakar.

2. ANGGOTA JPAM memberi bantuan awal kepada mangsa kebakaran di Kampung Lupak Meluas.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Februari 2016 @ 5:39 AM