Kuala Selangor: “Saya terjaga daripada tidur apabila terdengar jeritan kakak mengarahkan kami sekeluarga menyelamatkan diri kerana rumah terbakar,” kata Asraf Muhamedin, 23.

Rumah didiami Asraf bersama lima ahli keluarganya di Lorong Naluri Sukma 8/17, Puncak Alam di sini, hampir musnah dalam kebakaran jam 11 pagi semalam.

Kejadian menyebabkan dapur, bilik dan ruang tamu rumah musnah dijilat api dan kerugian ditanggung mencecah RM50,000.

Menurut Asraf, kebakaran dipercayai bermula daripada bumbung belakang rumah sebelum api merebak.

“Kami dengan bantuan jiran berusaha memadamkan api daripada terus merebak ke kediaman bersebelahan.

“Kami hanya sempat menyelamatkan beberapa dokumen penting namun syukur kerana kami semua selamat,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurut Asraf, mereka sekeluarga akan menumpang di rumah neneknya di kawasan berhampiran sehingga kerja baik pulih kerosakan siap.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran jam 11.22 pagi sebelum jentera pertama tiba setengah jam kemudian.

“Kebakaran tidak membabitkan kecederaan atau kehilangan nyawa kerana semua penghuni dapat menyelamatkan diri.

“Setakat ini jumlah kerugian dan punca kebakaran masih disiasat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Februari 2016 @ 8:56 AM