HAMZAH menunjukkan pelekat lambang polis yang ditampal pada kereta suspek dipercayai digunakan untuk penyamaran.
Oleh Fardy Bungga


Ampang: Guna pelekat logo Polis Diraja Malaysia (PDRM) palsu untuk menyamun. Itu taktik dilakukan seorang lelaki berusia 36 tahun yang aktif merompak mangsa dengan menyamar sebagai anggota polis.

Suspek dikesan gemar memperkenalkan diri sebagai anggota polis sebelum berpura-pura menahan mangsa dan dibawa menaiki kenderaan untuk ‘soal siasat’.

Mangsa sebaliknya dirompak sebelum ditinggalkan di tepi jalan oleh penjenayah yang menaiki kereta Proton Saga FLX.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, penjenayah bagaimanapun ditahan jam 9.30 pagi semalam, di Bandar Sri Permaisuri, Cheras.

Menurutnya, identiti suspek berjaya dikenal pasti selepas seorang mangsa yang berusia 26 tahun memberikan lakaran wajah suspek kepada polis.

“Suspek tidak mempunyai pekerjaan tetap itu dipercayai terbabit sekurang-kurangnya lima kes samun di sekitar Ampang dan pusat bandar dengan menumpukan mangsa dalam kalangan warga asing.

“Polis merampas kereta disewa suspek yang digunakan ketika menyamun. Suspek sengaja menampal logo PDRM pada cermin kenderaan,” katanya.

Hamzah berkata, hasil siasatan mendapati, suspek gemar menahan mangsa di tepi jalan di Jalan Pahang dan memperkenalkan diri sebagai anggota polis.

Katanya, suspek kemudian mengarahkan mangsa masuk ke dalam kereta dipandunya sebelum dibawa ke Taman Kosas, di sini.

“Suspek berpura-pura memeriksa dokumen pengenalan diri di dalam beg sebelum mengambil wang RM1,350 dan meninggalkan mangsa di tepi jalan berkenaan.

“Mangsa yang menyedari dirinya diperdaya sempat mencatatkan nombor pendaftaran kereta suspek sebelum membuat laporan polis,” katanya, semalam.

Menurutnya, suspek turut dikesan mempunyai dua kes lampau dan hasil ujian air kencing mendapati positif dadah jenis methamphetamine.

Katanya, polis percaya sekurang-kurangnya lima kes samun berjaya diselesaikan berikutan penahan suspek ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Februari 2016 @ 9:52 AM