KARTINA dan adiknya membantu mengangkat Halimah untuk diletakkan ke atas katil sambil diperhatikan oleh Kamaruddin.

Alor Gajah: Seorang wanita terpaksa berhenti kerja untuk memberikan perhatian dan menjaga ibu yang terlantar akibat masalah saraf tulang belakang manakala bapanya lumpuh akibat serangan angin ahmar.

Kartina Kamaruddin, 38, berkata bapanya Kamaruddin Johan, 64, lumpuh sejak 2005 manakala ibunya Halimah Hussin, 59, terlantar sejak enam bulan lalu selepas disahkan mengalami masalah saraf tulang belakang.

Katanya, dia yang sebelum ini bekerja di sebuah kilang tidak mempunyai pilihan selain berhenti kerja kerana tidak mahu mengabaikan keperluan ibu bapanya yang memerlukan bantuan untuk melakukan urusan seharian.

Wanita berkenaan berkata, selain itu kesihatan bapanya yang juga seorang pesara kerajaan semakin tidak menentu kesan akibat terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 1998.

Menurutnya, mereka sekeluarga kini bergantung kepada wang pencen Kamaruddin, berjumlah RM1,200, bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM300 dan suaminya Zaharin Abd Manap, 54, bekerja di sebuah stesen minyak berhampiran rumah mereka dengan pendapatan RM900 sebulan.

“Wang pencen dan bantuan diterima tidak mencukupi bagi membeli keperluan ibu dan bapa saya yang mencecah sehingga RM2,000 sebulan terutamanya lampin pakai buang, susu, ubat dan kos ulang alik bagi mendapatkan rawatan susulan di hospital.

“Pendapatan suami yang tidak seberapa pula hanya cukup untuk membayar ansuran bulanan kereta dan keperluan harian kami, jika saya berkerja pastinya dapat menampung semua kos berkenaan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gajah Mati, Sungai Petai, di sini, semalam.

Menurutnya, dia sudah memohon bantuan makanan daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) beberapa bulan lalu selian bantuan lampin pakai buang daripada Parlimen Alor Gajah dan sedang menunggu kelulusan daripada kedua-dua pihak berkenaan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia Datuk Norpipah Abdol berkata, pihaknya akan mengambil tindakan segera bagi membantu keluarga itu kerana belum mendapat maklumat mengenai masalah dihadapi mereka sebelum ini.

Beliau berkata, Jawatankuasa Kebajikan dan Keselamatan Kampung (JKKK) diingatkan supaya melakukan semakan dengan lebih kerap bagi memastikan maklumat mengenai keluarga yang memerlukan bantuan sentiasa dikemas kini bagi mengelakkan berlakunya keciciran penerima bantuan.

“Dengan merujuk kepada maklumat yang diberikan JKKK kami dapat menghulurkan bantuan segera terhadap keluarga memerlukan di daerah ini. Kami sentiasa turun padang melawat keluarga memerlukan melalui Program Ziarah Kasih diadakan pada hari Jumaat setiap minggu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Februari 2016 @ 9:55 AM