DR Nor Aieni (tengah) bersama peserta pada Majlis Perasmian UMT Future Scientist di Dewan Syarahan Pusat Islam, Universiti Malaysia Terengganu.
DR Nor Aieni (tengah) bersama peserta pada Majlis Perasmian UMT Future Scientist di Dewan Syarahan Pusat Islam, Universiti Malaysia Terengganu.

Kuala Nerus: Ibu bapa dan masyarakat tidak boleh terlalu selesa dengan pencapaian cemerlang bidang pendidikan di negara ini, tetapi perlu bergerak lebih pantas bagi memastikan Malaysia terus berada di depan dalam persaingan.

Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof Dr Nor Aieni Mokhtar berkata, pelajar pula tidak boleh leka atau jemu mempelajari serta guru juga perlu sentiasa memperbaiki mutu pendidikan dalam negara.

“Alhamdulillah, sepanjang lima dekad, sistem pendidikan kita mencatat banyak kejayaan yang boleh dibanggakan dan saya sendiri pernah menjadi pemenang Anugerah Al-Khawarizmi di Iran pada 2001.

“Bagaimanapun, kita tidak boleh berasa selesa dengan semua pencapaian ini kerana perlu bersaing dengan negara lain yang bergerak pantas bagi mencapai sistem pendidikan terbaik.

“Oleh itu, kita semua termasuk pelajar perlu bersiap sedia menghadapi persaingan ini dengan bergerak lebih pantas untuk menambah baik sistem pendidikan negara,” katanya sebelum merasmikan Program ‘UMT Future Scientist’ di Pusat Islam UMT, semalam.

Hadir sama, Dekan Pusat Pendidikan Asas dan Liberal (PPAL) UMT Prof Madya Dr Aziz Ahmad dan Yang Dipertua Majlis Kebajikan Pelajar Besut Yusuf Kasim.

Program itu disertai 30 murid tahun lima dari lima sekolah di sekitar daerah Besut. Ia bertujuan untuk memberi motivasi kepada peserta menjadi saintis hebat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Februari 2016 @ 5:11 AM