Alipiah bersama Mas Liyana.

Langkawi: Pasangan pengantin, Alipiah Baharum, 24, dan isterinya, Mas Liyana Muhamad Mushadin, 22, memiliki sejarah apabila dilahirkan kembar sentiasa mengimpikan turut dikurniakan anak kembar.

Alipiah berkata, dia dan isterinya berkenalan dua tahun lalu.

“Selepas mengetahui bakal isteri juga dilahirkan kembar seperti saya, tercetus perasaan teruja dan mahu perkahwinan dipercepatkan.

“Jika ditakdirkan kami memperoleh zuriat kembar, itu adalah rezeki Allah SWT dan kami reda menerimanya,” katanya yang bekerja di kilang simen, di sini.

Pasangan berkenaan sebelum itu mengadakan persandingan di rumah Mas Liyana di Kampung Simpang Empat, Alor Setar pada 8 Februari lalu, diikuti kenduri di rumah Alipiah di Kampung Kubang Badak, Mukim Ayer Hangat, di sini, semalam.

Kembar seiras Alipiah iaitu Mohamad masih belum berkahwin, manakala pasangan kembar seiras bagi Mas Liyana adalah Mas Liyani sudah berkahwin dan dikurniakan seorang anak.

Mas Liyana menganggap perkahwinan membabitkan pasangan yang ada sejarah dilahirkan kembar seperti dilaluinya bersama suami adalah sesuatu yang unik.

“Saya bersyukur atas perkahwinan unik dan doakan supaya jodoh kami panjang. Jika dikurniakan anak kembar... itu adalah rezeki,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Februari 2016 @ 5:17 AM