Shamran (dua dari kanan) menyerahkan beg keperluan asas sumbangan Media Prima kepada mangsa banjir di Kampung Bidayauh Tebakang, Serian.
Oleh myMetro

Serian: Media Prima Berhad (MPB) menyumbangkan beg keperluan asas kepada 125 mangsa banjir Kampung Tebakang Bidayuh di pusat pemindahan di Gereja Sacred Heart, di sini, semalam.

Beg keperluan asas itu hasil sumbangan orang ramai melalui Tabung Bencana NSTP-Media Prima dengan kerjasama Program Jiwa Murni, Kementerian Pertahanan.

Selain sumbangan itu, MPB turut menjalin kerjasama dengan GHC Retail Sdn Bhd (GHC) pengendali pasar raya besar Giant melalui usaha sama program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang menyumbangkan barangan makanan kepada penduduk.

Penyerahan sumbangan disampaikan wakil MPB, Ketua Biro Harian Metro Sarawak Shamran Sarahan bersama Pengurus Cawangan Kuching GHC Anbananthan Ponramu.

Sumbangan diserahkan kepada Ketua Kampung Kampung Tebakang Bidayuh Kranang Panggai dan Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rochus Jimbau.

Rochus berkata, sumbangan itu cukup bermakna kepada penduduk kerana ada sebahagian daripada mereka tinggal sehelai sepinggang ketika kampung itu dilanda banjir.

“Keperluan asas ini cukup penting kepada penduduk, sekurang-kurangnya ia dapat meringankan beban yang ditanggung mereka,” katanya.

Sementara itu, Anbananthan berkata, GHC sudah mengedarkan barangan keperluan kepada mangsa banjir di negeri ini di empat pusat pemindahan sejak Sabtu lalu.

“Sumbangan ini adalah sebahagian dari CSR GHC untuk membantu meringankan beban penduduk yang terjejas akibat banjir dan kami sudah turun padang sejak hari pertama banjir melanda bahagian Kuching, Samaran dan Serian,” katanya.

Sehingga jam 6 petang semalam, seramai 1,538 daripada 483 keluarga masih ditempatkan di tujuh pusat pemindahan di Serian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2016 @ 9:50 AM