SARIFAH bersama anak lelaki dan cucunya melihat keratan akhbar yang memaparkan tragedi Lahad Datu.
Oleh Mohd Hanafis Abdul Haris


Batu Pahat: “Walaupun hampir tiga tahun tragedi hitam itu berlalu, namun hingga kini, keluarga kami masih meratapi kehilangan arwah,” kata Sarifah Sarikon, 56, kakak kepada Sarjan Abdul Azis yang terkorban dalam tragedi berdarah di Lahad Datu, Sabah pada 2013.

Arwah ialah seorang daripada lapan anggota serta pegawai polis yang terkorban selepas diserang hendap pengganas Kiram yang menceroboh dari selatan Filipina.

Malah, tanggal 1 Mac dan 2 Mac 2013 akan kekal sebagai detik tragedi buat keluarga mereka.

Menurut Sarifah, keluarganya akan mengadakan kenduri doa selamat pada setiap tahun bagi memperingati pemergian arwah dan kali terakhir dilakukan ialah pada 12 Februari lalu.

“Tahun ini berbeza kerana kenduri doa selamat turut dibuat untuk arwah ibu, Matrah Salim, yang meninggal dunia 12 Disember lalu akibat barah usus.

“Walaupun peristiwa hitam itu sudah berlalu namun perasan bangga dan sedih masih ada terutama setiap kali tibanya Mac. Perasaan sedih masih ada, malah anak lelaki saya yang rapat dengan arwah juga masih merasai kehilangannya hingga kini,” katanya di rumahnya di Parit Punggor Darat, di sini, semalam.

Sementara itu, Mohd Nor Hafiz Mohd Zainal, 28, menyifatkan kehilangan bapa saudaranya itu satu kehilangan besar buat keluarga.

Katanya, dia antara individu paling rapat dengan arwah Abdul Aziz dan kenangan bersama arwah tetap segar dalam ingatannya.

“Saya masih ingat perancangan kami untuk bercuti ke pulau Mabrur, Sabah namun apakan daya, Allah SWT lebih sayangkannya.

“Setiap tahun, kami sekeluarga akan menziarah pusara arwah di Semporna dan kali terakhir adalah pada Julai tahun lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2016 @ 10:25 AM