KEADAAN bas yang merempuh pokok dalam kemalangan di Kampung Sungai Perentang, Jalan Ipoh.
Oleh Nadzreen Shah Mat Salim

Rawang: Tiga pelanggan sebuah gerai yang sedang menjamu selera cedera termasuk salah seorangnya parah dihempap sebatang pokok yang tumbang sejurus dirempuh sebuah bas.

Dalam kejadian jam 11.30 malam kelmarin, bas itu dikatakan hilang kawasan dan terbabas berhampiran Kampung Sungai Perentang, Jalan Ipoh, di sini.

Seorang saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Raj, 30-an berkata, dia dan tiga mangsa lain sedang duduk di luar gerai berkenaan.

“Kami duduk di meja yang diletakkan di bahu jalan. Tiba-tiba saya terdengar jeritan sebelum sebuah bas merempuh sebatang pokok besar berhampiran.

“Pokok itu tumbang sebelum beberapa pelanggan gerai cedera dihempap dahan pokok. Saya sempat melihat seorang remaja lelaki cedera manakala seorang wanita parah akibat kemalangan itu,” katanya.

Menurutnya, keadaan ketika itu menjadi cemas apabila mangsa cuba diselamatkan orang ramai.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.55 malam dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, terdapat dua mangsa lelaki mengalami kecederaan akibat ditimpa dahan pokok,” katanya.

Menurutnya, pemandu bas itu dipercayai tertidur ketika memandu hingga menyebabkan bas berkenaan merempuh pokok.

“Pemandu bas itu turut mengalami kecederaan ringan manakala seorang wanita yang juga pelanggan gerai itu cedera parah,” katanya.

Katanya, pemandu bas dan wanita terbabit kemudian dihantar ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan kecemasan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mac 2016 @ 8:21 AM