MOHD Mokhtar (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas sekitar Kedah dan Pahang, Sabtu lalu.
Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


Kuala Lumpur: Masak syabu merah jambu di dalam kebun sayur kubis. Itu taktik digunakan sindiket dadah tempatan yang dikesan menjadikan pusat peranginan Cameron Highlands, Pahang, sebagai markas operasi.

Bagaimanapun muslihat tujuh suspek lelaki berusia 24 hingga 40 tahun itu terbongkar apabila mereka ditahan di kebun sayur selain hotel mewah di kawasan itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, serbuan dilakukan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) jam 2 pagi Sabtu lalu.

Menurutnya, risikan mendapati suspek membina makmal pemprosesan dan memasak syabu untuk pasaran tempatan.

“Hasil serbuan itu, polis merampas 2.1 kilogram (kg) syabu bersama peralatan pemprosesan dan bahan kimia bernilai RM315,000.

“Polis turut menyita enam kereta pelbagai model dipercayai milik sindiket dengan nilai RM454,932,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, semalam.

Bertindak hasil maklumat risikan, pihak STING menahan empat suspek termasuk seorang wanita Thailand di Changloon, Kedah, beberapa jam selepas serbuan di Cameron Highlands.

Mohd Mokhtar berkata, 248 ketulan ganja dirampas dengan nilai pasaran RM741,000.

“Polis turut menahan empat suspek berusia 17 hinga 55 tahun,” katanya.

Beliau berkata, polis sebelum itu turut menahan tujuh suspek membabitkan empat wanita dan tiga lelaki berusia 16 hingga 43 tahun di Pulau Peranginan Langkawi, Kedah, Jumaat lalu.

Dalam serbuan jam 5.15 petang itu, polis juga merampas 3,612 pil ekstasi dan 4.4 kilogram heroin dengan nilai RM321,000.

“Tiga kereta pelbagai model disita dan RM163,000 milik suspek dirampas,” katanya.

Menurutnya JSJN turut menubuhkan pasukan khas bagi mengesan saki baki tiga sindiket ini yang dipercayai mempunyai rangkaian antara satu sama lain.

Katanya, semua suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2016 @ 7:35 AM