LIMA individu dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Jalan Duta, Kuala Lumpur.
Oleh Nor Azura Abdul Jalil


Kuala Lumpur: Lima lelaki termasuk dua beradik dan seorang remaja diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas dakwaan mempromosikan perbuatan keganasan, April tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Nordin Hassan memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap dua peniaga kedai baja, Mohd Anwar Azmi, 34, dan adiknya Mohd Nurakmal, 31, peniaga air, Izwan Shameer Suzaimi, 26, pekerja kedai tayar, Muhammad Luqman Hakim Abdul Aziz, 23, serta seorang remaja yang ketika kejadian berusia 17 tahun.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersetuju antara satu sama lain untuk melakukan perbuatan menyalahi undang-undang iaitu mempromosikan perbuatan keganasan di negara ini.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di No 2, Lot 3917, Kampung Bistari, Sungai Michu, Batu 13, Hulu Langat, Selangor antara jam 7 petang, 24 April 2015 dan 1 pagi keesokannya mengikut Seksyen 120B(1), Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda, jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu, dalam penghakimannya, Nordin berkata, berdasarkan fakta mahkamah mendapati adanya saranan untuk meletupkan pusat hiburan dan membuat huru-hara di Kuala Lumpur.

Dalam penghakimannya juga, Nordin berkata, adanya saranan untuk membuat ujikaji bahan letupan di Gunung Nuang dan saranan terdapat bahan yang boleh menghasilkan bahan letupan ditemui daripada tertuduh.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Zhafran Rahim Hamzah.

Peguam Naizatul Zamrina Karizaman mewakili Mohd Anwar dan Mohd Nurakmal, peguam Faizal Rahman mewakili Izwan Shameer, peguam Wong Kar Fai mewakili Muhammad Luqman Hakim, manakala peguam Nik Zarith Nik Moustpha bertindak bagi pihak remaja 17 tahun itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2016 @ 7:40 AM