ZAMZULINA menunjukkan gambar anaknya, Fatin Nazrinawanie.
Siti Nor Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Anak saya kerap demam akibat tonsil dialaminya sejak kecil lagi dan kami tidak sedar keadaannya serius sehingga beberapa hari lalu dia mengadu sesak nafas dan sukar tidur.

“Saya beberapa kali membawanya ke klinik dan Unit Kecemasan Hospital Machang, namun tidak mengetahui punca dia sesak nafas dan hanya dimaklumkan akibat demam biasa,” kata Zamzulina Yajid, 42, ibu kepada Fatin Nazrinawanie Mohd Nazaruddin, 20, yang meninggal dunia jam 2.30 petang, kelmarin.

Kematian Fatin Nazrinawanie yang juga anggota Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia (SSPDRM) di Balai Kok Lanas itu menjadi viral selepas laporan polis dibuat tersebar dan mendakwa mangsa maut kerana pengambilan produk kecantikan.

Bagaimanapun, bedah siasat dijalankan ke atas mayatnya di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini malam kelmarin mendapati punca kematian adalah akibat paru-paru berair.

Zamzulina yang ditemui di rumahnya di Taman Bukit Idaman, Kok Lanas, di sini turut menafikan punca kematian anaknya akibat tersalah mengambil produk kecantikan.

“Dia memang ada mengambil vitamin kecantikan, namun baru memakan lima biji pil, lagipun arwah tidak mengambil sebarang ubat atau makanan tambahan tanpa meminta izinnya dulu kerana mahu memastikan ia selamat,” katanya.

Katanya, anak sulung daripada lima beradik itu mula demam sejak awal bulan ini dan pulih selepas mengambil ubat.

“Tetapi, Ahad lalu dia sesak nafas dan saya sekali lagi membawanya ke Klinik Kesihatan Kok Lanas. Ujian darah mendapati dia demam biasa.

“Semalam (kelmarin) arwah sekali lagi sesak nafas dan semakin tidak bermaya menyebabkan saya membawanya ke klinik kesihatan.

“Ketika di klinik dia semakin tenat, saya memeluknya dengan erat dan mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah sebelum doktor mengesahkan dia meninggal dunia,” katanya.

Menurutnya, dia menganggap kejadian itu ujian dan reda dengan pemergian anaknya yang sudah berkhidmat dalam SSPDRM lebih setahun lalu.

Bercerita lanjut mengenai arwah, katanya, Fatin Nazrinawanie rapat dengan ahli keluarga terutama adik bongsunya Mohd Danial Firdaus yang berusia setahun dua bulan,

Katanya, pada 24 Mac ini, arwah anaknya itu sepatutnya menghadiri temuduga untuk kakitangan sokongan Tentera Udara Malaysia (TUDM) di Gong Kedak.

“Dia gembira apabila memperoleh temuduga itu kerana mahu mendapatkan pekerjaan tetap dan membantu keluarga.

“Namun takdir menentu segala-galanya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Baharom Abu mengesahkan mangsa meninggal akibat paru-paru berair. dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Katanya, kes itu juga tiada kaitan dengan pengambilan vitamin kecantikan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mac 2016 @ 9:58 AM