Buruh warga asing hanya mampu melihat rumah kongsi mereka terbakar.
myMetro

Kuala Lipis: Seramai 94 buruh warga asing yang bekerja di kilang papan di Padang Tengku, di sini, sehelai sepinggang apabila rumah kongsi mereka musnah dalam kebakaran, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11 pagi, mangsa berusia lingkungan 30 hingga 50 tahun gagal menyelamatkan dokumen penting termasuk barangan berharga disimpan di rumah kongsi berkenaan.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Anuar Hassan berkata, kejadian itu disedari beberapa pekerja kilang papan yang melihat kepulan asap hitam sebelum menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Lipis.

“Sepasukan anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian bersama sebuah jentera.

“Ketika tiba di tempat kejadian, anggota bomba mendapati 80 peratus rumah kongsi dijilat api,” katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati ketika kejadian, mangsa keluar bekerja di kilang papan berkenaan, namun bergegas pulang menyelamatkan harta benda serta dokumen penting masing-masing.

Menurutnya, mangsa yang gagal menyelamatkan barangan tidak cedera ketika cuba meredah api.

“Bomba mengambil masa setengah jam memadamkan api bagi mengelak merebak ke kawasan berhampiran.

“Siasatan diteruskan bagi mengenal pasti punca kebakaran dan jumlah kerugian mangsa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mac 2016 @ 9:42 AM