NAJIB
NAJIB
myMetro

Kuala Lumpur: Kerajaan kini dalam keadaan bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan berikutan cuaca panas melampau dan gelombang haba yang melanda negara kebelakangan ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan akan mengambil segala langkah berjaga-jaga yang perlu kerana cuaca panas itu boleh mendatangkan bahaya terutama kepada kanak-kanak dan golongan tua.

“Pada masa sama, Kementerian Pendidikan juga akan memantau keadaan dari semasa ke semasa dan sekiranya keadaan panas melampau masih berterusan selepas cuti sekolah minggu ini, kementerian akan memutuskan sama ada sekolah perlu ditutup untuk menjaga kesihatan pelajar.

“Saya memandang berat kesan dan akibat daripada cuaca panas melampau yang melanda negara sejak kebelakangan ini,” kata beliau dalam blog NajibRazak.com di sini, semalam.

Jabatan Meteorologi Malaysia sebelum ini berkata, cuaca panas melampau yang melanda negara mutakhir ini berpunca daripada fenomena El-Nino.

Menurut Ketua Pengarahnya Datuk Che Gayah Ismail, cuaca panas itu dijangka berlanjutan sehingga penghujung bulan ini.

Dalam pada itu Najib berkata, Kementerian Pendidikan buat masa ini memberi kuasa mengikut budi bicara pengetua serta guru besar untuk membatalkan aktiviti luar kelas jika keadaan memaksa.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai sekiranya wujud gejala-gejala penyakit berkaitan cuaca panas dan gelombang haba seperti sakit kepala, ekzema pada kaki, denyutan jantung yang cepat, ruam panas, kekejangan otot atau sakit badan, segera dapatkan rawatan di klinik atau hospital kerajaan yang berdekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mac 2016 @ 7:09 AM