ADENAN (tengah) bersama barisan pemimpin Sarawak menyanyikan lagu rasmi Sejiwa Senada bersama 4,000 tetamu yang dihadir.
ADENAN (tengah) bersama barisan pemimpin Sarawak menyanyikan lagu rasmi Sejiwa Senada bersama 4,000 tetamu yang dihadir.
OMohd Roji Kawi

Mukah: Ketua Menteri (KM) Sarawak, Tan Sri Adenan Satem mengumumkan calon muka baru untuk bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-11.

Walikota Majlis Daerah Dalat Mukah (MDDM) Abdul Yakub Arbi, 56, diumumkan bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian.

Abdul Yakub, anak jati Balingian yang dilahirkan di Kampung Masjid Balingian, akan menggantikan penyandang kawasan itu, Yusibnosh Balo yang diumumkan bertanding di kawasan DUN baru, Tellian.

Pengumuman itu dibuat Adenan ketika merasmikan Program Sejiwa Senada di Dataran Pehin Setia Raja di sini, semalam.

Pada majlis itu, Adenan turut mengumumkan Menteri Pembangunan Wanita dan Pembangunan Keluarga negeri, Datuk Fatimah Abdullah akan mempertahankan kerusi DUN Dalat yang dimenanginya sejak 2001.

“Saya berharap pengundi menerima mereka yang saya jamin akan membantu membawa pembangunan ke kawasan luar bandar.

“Mereka dalam ‘team Adenan’, jadi mereka akan bersama saya untuk memperjuangkan nasib rakyat Sarawak,” katanya yang menerima tepukan gemuruh ribuan pengunjung di tapak program berkenaan.

Hadir sama isteri beliau, Puan Sri Jamilah Anu; Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang; Menteri Perumahan, Datuk Amar Abang Johari Openg dan Menteri Perancangan Sumber II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan.

Sebelum ini, Adenan mengumumkan sembilan penyandang termasuk beliau sendiri untuk mempertahankan kerusi masing-masing pada PRN-11.

Beliau akan kekal bertanding di DUN Tanjung Datu, Datuk Amar Abang Johari Openg (Satok), Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali (Samariang) dan Dr Abdul Rahman Junaidi (Pantai Damai).

Turut dikekalkan ialah Dr Hazland Abang Hipni (Demak Laut), Dr Annuar Rapaee (Nangka), Aidil Lariwoo (Sadong Jaya), Datuk Julaihi Narawi (Sebuyau) dan Razaili Gapor (Beting Maro).

Beliau mengumumkan kerajaan negeri sedang meneliti untuk menurunkan kadar cukai pintu di negeri itu.

“Saya akan membawa cadangan untuk menurunkan kadar cukai pintu dalam mesyuarat Kabinet negeri tidak lama lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mac 2016 @ 5:11 AM