SYABU yang dirampas dalam dua serbuan di lokasi berasingan pada Selasa dan Khamis lalu.
Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


Kuala Lumpur: Sumbat dadah syabu di dalam penyesuai saluran komputer (adapter) dan katrij mesin cetak sebelum diseludup ke negara ini.

Sindiket dadah antarabangsa itu dikesan menggunakan khidmat syarikat kurier bagi menghantar produk elektronik berisi dadah kepada ‘rakan’ di sini.

Kegiatan sindiket didalangi dua lelaki warga Ghana dan seorang lelaki warga Nigeria itu tumpas selepas polis melakukan serbuan di dua lokasi berasingan pada Selasa dan Khamis lalu.

Hasil operasi itu, polis merampas 4.8 kilogram (kg) dadah syabu dianggarkan bernilai RM1 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, dalam serbuan pertama jam 11.05 minit pagi Selasa lalu, polis menahan dua lelaki Ghana dan Nigeria di Putra Nilai, Nilai, Negeri Sembilan.

Beliau berkata, serbuan dilakukan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Polis Diraja Malaysia (PDRM) di kawasan meletak kenderaan sebelum pihaknya merampas syabu seberat 3.4kg.

“Suspek berusia 22 dan 27 tahun. Semua dadah dirampas bernilai RM700,000. Polis menyita sebuah kereta Perodua Myvi digunakan suspek,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, semalam.

Mohd Mokhtar berkata, STING kemudian menahan seorang lelaki Ghana di Taman Sentosa, Klang, Selangor pada Khamis lalu.

Katanya, dalam operasi jam 10 malam, suspek berusia 29 tahun ditahan di tepi jalan dan polis merampas 1.4kg dadah syabu dianggarkan bernilai RM300,000.

“Siasatan awal mendapati ahli sindiket itu dipercayai menggunakan perkhidmatan kurier untuk menyeludup dadah dari China.

“Sindiket menggunakan taktik menyembunyikan dadah di dalam adapter komputer dan katrij mesin cetak,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan rampasan itu turut dibantu pihak berkuasa China yang menyalurkan maklumat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mac 2016 @ 9:40 AM