MOTOSIKAL Nurul Azhar yang ditinggalkan di Jambatan Pulau Pinang.
Oleh Shamsul Munir Safini


Prai: “Dahulunya dia seorang pelajar pintar di sekolah, namun sejak kebelakangan ini dia seperti terumbang-ambing,” kata seorang rakan Nurul Azhar Aziz, 26, yang dipercayai lemas selepas terjun dari Kilometer 3.8, Jambatan Pulau Pinang dari arah Prai menghala ke Georgetown, semalam.

Rakannya yang mahu dikenali sebagai Azri berkata, dia mengenali mangsa sejak di bangku sekolah rendah dan Nurul Azhar dikenali sebagai seorang murid yang pintar di dalam kelas mereka.

Bagaimanapun, katanya, selepas tamat sekolah menengah, dia difahamkan Nurul Azhar bersikap pelik dan sering dilihat melayan perasaannya seorang diri.

“Saya kerap berhubung dengan rakan sekolah dan mendapat maklumat Nurul Azhar turut bersikap sedemikian ketika menuntut di Universiti Sains Malaysia, di sini.

“Namun, saya tidak dapat memastikan kesahihan berita berkenaan sehingga ada yang mengatakan dia terpaksa mendapatkan rawatan kesihatan mental ketika menuntut di situ,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi semalam, Nurul Azhar dari Tasek Gelugor, di sini, dikatakan menunggang motosikal berseorangan sebelum berhenti di laluan kecemasan jambatan itu.

Saksi kejadian berkata, mangsa menanggalkan selipar dipakainya sebelum memanjat pembahagi jalan konkrit di situ sebelum terjun ke dalam laut.

Katanya, orang ramai yang melihat kejadian tidak sempat menariknya kerana kejadian berlaku dengan pantas dan mangsa sempat meninggalkan dokumen pengenalan dirinya di motosikal.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri berkata, pihaknya tiba di tempat kejadian pada jam 10.52 pagi.

“Kami dapati seorang lelaki terjun ke dalam laut dan meninggalkan sebuah motosikal di lokasi berkenaan,” katanya.

Menurutnya, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia berada di bawah jambatan dan membuat rondaan mencari mangsa dan sehingga petang semalam, mangsa belum ditemui.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mac 2016 @ 7:31 AM