Skip this ad x
PERKAMPUNGAN Bayu Senja yang dirobohkan MBPP, semalam.
Mohd Hilmi Mahmud

Batu Ferringhi: Seorang bapa empat anak hilang punca pendapatan selepas empat inap desa serta sebuah restoran miliknya di Kampung Bayu Senja, di sini, dirobohkan penguat kuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), semalam.

Zuharkhan Mohamad Ali, 46, yang sudah 30 tahun menjalankan perniagaan inap desa dan restoran itu berkata, beliau hilang sumber pendapatannya berikutan hanya bergantung kepada perniagaan berkenaan semata-mata.

“Saya sudah tidak tahu lagi bagaimana cara mendapatkan wang untuk menyara empat anak yang masih bersekolah. Saya hanya bergantung hidup dengan perniagaan inap desa dan restoran itu saja.

“Hari ini, mereka (MBPP) datang tanpa memberi sebarang notis dan surat untuk merobohkan inap desa dan restoran saya menyebabkan saya sedih dan kecewa dengan tindakan mereka itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di kampung berkenaan, semalam.

Zuharkhan yang mempunyai anak berusia antara enam hingga 17 tahun berkata, dia mungkin terpaksa berhutang dengan rakan bagi membeli keperluan harian berikutan segala barangan dan peralatan di inap desanya sudah tidak boleh diselamatkan lagi.

Menurutnya, dia terkejut dengan tindakan pekerja MBPP yang datang secara tiba-tiba untuk merobohkan inap desa dan restorannya yang bernilai hampir RM400,000.

“MBPP pernah menghantar surat kepada saya lebih lima bulan lalu untuk mengosongkan inap desa dan restoran saya, namun saya ada membuat rayuan untuk terus melakukan operasi perniagaan.

“Tidak sangka MBPP datang tanpa sebarang notis dan terus merobohkan semua inap desa sehingga saya tidak mampu untuk berfikir lagi bagi meneruskan hidup,” katanya.

Menurutnya, dia pernah bertemu Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Datuk Mohd Rashid Hasnon bagi berkongsi masalah yang dialaminya dan memohon pertolongan daripada pemimpin berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mac 2016 @ 9:59 AM