Ismail membersihkan Makam Tok Pulau Manis.
Nazdy Harun
am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: “Kubur tempat persemadian dan bukannya mampu memberi apa-apa kelebihan. Oleh itu, niat harus betul sekiranya menziarahi kubur terutama makam berkaitan tokoh agama.

“Menziarah kubur tidak salah, malah ia satu amalan yang baik kerana mampu mengingatkan mengenai kematian, namun apabila dicampur dengan perbuatan khurafat, ia boleh merosakkan akidah,” kata Pengerusi Masjid Kampung Serada-Pulai Manis Ismail Embong, 71, ketika ditemui di Makam Tok Pulau Manis, di sini.

Tok Pulau Manis atau nama sebenarnya Syeikh Abdul Malik Abdullah adalah pendakwah Islam dan ulama tersohor di Terengganu yang meninggal dunia pada 1730 ketika berusia 80 tahun.

Menceritakan kejadian dua tahun lalu, Ismail berkata, pernah dua individu tidak dapat keluar dari pekarangan makam itu sehingga disedari imam masjid kampung berkenaan, Kori Endut, 71, yang datang untuk membaca al-Quran di makam terbabit.

“Kedua-dua lelaki itu ke kubur berkenaan dengan motosikal, tetapi ketika ditemui, kedua-dua mereka mencari pintu untuk keluar dari makam berkenaan, namun gagal menemuinya.

“Imam berkenaan yang menyedari kedua-dua lelaki itu terperangkap dalam kawasan makam terbabit terus membuka pintu sebelum kedua-duanya ke arah motosikal dan meninggalkan lokasi itu,” katanya.

“Kita tidak tahu niat sebenar lelaki berkenaan, tetapi pihak pengurusan masjid percaya ia ada kaitan dengan kegiatan melanggar ajaran agama kerana kubur tidak mampu memberi sebarang kelebihan pada manusia,” katanya.

Menurut Ismail, boleh dikatakan setiap hujung minggu, makam Tok Pulau Manis dipenuhi pengunjung.

“Sekiranya terdapat pengunjung mencurigakan, pihak pengurusan kampung akan bertanya hajat mereka ke makam itu selain memberi nasihat tertentu bagi mengelakkan mereka daripada melakukan perbuatan mungkar di atas kubur berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mac 2016 @ 5:17 AM