MUHAMMAD Alif menunjukkan lidahnya yang didakwa dipotong.
MUHAMMAD Alif menunjukkan lidahnya yang didakwa dipotong.
Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Na'imah Mohamed

Klang: Ibu murid lelaki tahun dua yang dipaksa menggunting lidah sendiri oleh lima murid darjah tiga Khamis lalu menafikan anaknya mereka cerita palsu berhubung kejadian yang tersebar di laman media sosial sejak kelmarin.

Wanita berusia 29 tahun itu berkata, anaknya bukan kanak-kanak yang suka menipu apatah lagi mencederakan diri sendiri.

“Dia seorang anak yang manja. Apa saja yang berlaku kepada dirinya akan diberitahu kepada saya. Saya berasa terkilan kerana tidak mengambil tindakan awal sejak dia mengadu dibuli awal tahun ini.

“Ketika itu saya menganggap ia sekadar usikan rakan-rakan di sekolah dan tidak melaporkannya kepada pihak sekolah. Saya tidak mahu dilabel sebagai ibu yang terlalu sensitif,” katanya ketika ditemui wartawan Harian Metro di rumahnya di Bukit Tinggi di sini, semalam.

Ibu kepada dua anak itu memberitahu, mangsa bukan jenis kanak-kanak lasak atau gemar melakukan perkara berbahaya.

“Jadi agak mustahil sekiranya dia sengaja menggunting lidahnya sendiri dan kemudian membuat cerita dibuli.

“Dakwaan itu tidak masuk akal kerana dia baru berusia lapan tahun. Sekiranya dia memang jenis bermasalah, mengapa dia tidak pernah mengadu dibuli ketika menghadiri sekolah agama sebaliknya berulang kali mengadu dibuli di sekolah kebangsaan,” katanya kesal.

Wanita itu berkata, dia dan suami masih belum memutuskan sama ada mahu memindahkan anak mereka di sekolah lain di daerah ini atau menghantarnya ke Tumpat, Kelantan, untuk dijaga neneknya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Azman Abd Razak berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan terperinci berkaitan kes itu dan meminta masyarakat mengelak membuat spekulasi.

“Polis masih belum merekodkan keterangan mangsa dan lima murid yang didakwa membulinya. Perkara ini membabitkan kanak-kanak yang masih bersekolah, jadi polis perlu ambil kira semua sudut termasuk psikologi kanak-kanak yang menjadi mangsa,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Selangor Zainuren Mohd Nor ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak mempunyai halangan jika mangsa mangsa berpindah sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mac 2016 @ 8:34 AM