DR Ahmad Zahid ketika menghadiri sidang kemuncak keselamatan nuklear di Washington.
BERNAMA

Washington: Ancaman pengganas nuklear yang mempunyai impak besar kepada keselamatan dunia menjadi topik utama perbincangan pada Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear (NSS) di sini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, isu ancaman pengganas nuklear “bukan sahaja menjadi kepentingan sesebuah negara malah kepentingan sejagat kerana keselamatan global perkara yang penting.”

“Untuk itu, keprihatinan dan kepedulian pemimpin dunia mengenainya amat penting,” katanya.

Turut hadir Menteri Sains, Teknologi dan Innovasi Datuk Seri Madius Tangau.

Ahmad Zahid berkata, perkara itu dizahirkan pada perbincangan semasa majlis makan malam yang dihoskan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama sempena NSS yang bertema ‘Evaluating the Threat’ (Menilai Ancaman) di White House di sini, yang dihadiri ketua delegasi daripada 53 negara.

Ahmad Zahid berkata, antara yang dibangkitkan tiga senario yang boleh berlaku kepada dunia berkaitan senjata dan aset nuklear.

Senario pertama sekiranya senjata nuklear jatuh ke tangan pengganas dan digunakan untuk menghancurkan negara yang menjadi tumpuan mereka.

Senario kedua sekiranya pengganas merampas dan menggunakan aset nuklear, terutama di kawasan reaktor tenaga itu yang dijadikan janakuasa, yang boleh menyebabkan kemusnahan di kawasan itu.

“Senario ketiga mengenai rampasan bahan nuklear rentan yang boleh dijadikan senjata nuklear,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, terdapat kesepaduan pemikiran mengenai senario berkenaan dan saranan untuk menjadikan dunia bebas daripada nuklear.

Menurutnya, NSS turut membincangkan mengenai keselamatan senjata kimia dan biologikal, serta kebimbangan buat negara yang mempunyai nuklear dan negara tidak mempunyai nuklear.

Ahmad Zahid berkata, pada perbincangan itu, beberapa negara menyuarakan supaya NSS, yang mula diadakan pada 2010 bagi membincangkan mengenai pengganas nuklear, perlu diteruskan walaupun Obama tidak lagi menjadi Presiden Amerika Syarikat.

Beliau berkata, Malaysia, walaupun bukan negara sumber bahan nuklear, tetap mahu memastikan pihak polis dan agensi keselamatan memberi perhatian serius terhadap ancaman terkini itu, yang boleh berlaku sekiranya ia dipandang remeh.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 April 2016 @ 5:18 AM