Suraya Roslan dan Amirol Amin Abu Bakar


Kuala Lumpur: Ekspo perdagangan halal terbesar dunia, Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2016 menjadi medium untuk masyarakat mengetahui status sesuatu produk halal antarabangsa yang dipasarkan ke negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Shapers Malaysia Sdn Bhd, Datuk Mohd Shukri Abdullah berkata, semua 236 pempamer antarabangsa terdiri daripada 67 negara, antaranya China, Thailand, Bangladesh, Taiwan, Afrika Selatan, Tunisia, Lubnan dan Sri Lanka mengambil bahagian dalam acara tahunan itu.

“Kita bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan antara syarat menyertai MIHAS adalah produk mereka perlu ada logo halal disahkan badan berkenaan sama ada bagi syarikat tempatan mahupun luar negara.

“Tidak timbul isu logo halal diragui kerana kita memang bekerjasama dengan JAKIM bagi membuktikan setiap pempamer mempunyai logo diperakui,” katanya, di sini, semalam.

Mohd Shukri berkata, MIHAS yang diperkenalkan sejak 2004 membuktikan usahawan Malaysia mengembangkan perniagaan mereka lebih jauh terutama membabitkan produk halal selain memasuki pasaran antarabangsa.

“Tahun ini edisi ke-13 MIHAS bermula Rabu lalu hingga esok (hari ini) disertai 543 syarikat mewakili 29 negara dengan keseluruhan 607 pempamer.

“Kita jangka 25,000 pelawat perdagangan dari 67 negara dijangka mengunjungi MIHAS kali ini,” katanya,

Mohd Shukri berkata, Malaysia juga negara tunggal dunia yang memiliki semua komponen terbabit untuk muncul sebagai pemimpin industri halal global.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Al Ansar Health Ab Aziz Abu Bakar berkata, MIHAS antara medium bagi membantu produk tempatan bertapak di pentas antarabangsa.

“MIHAS membuka luas pasaran industri halal di negara ini sehingga ke peringkat antarabangsa selain mengetengahkan produk halal.

“Secara tidak langsung membuka mata umum mengenai barangan halal itu bukan saja memfokus kepada makanan dan minuman, tetapi termasuk barangan kegunaan seharian,” katanya.

Katanya, pembabitan usahawan Bumiputera menggalakkan kerana semakin ramai yang menyertai MIHAS dengan pembungkusan, penjenamaan serta produk terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 April 2016 @ 5:48 AM
Siti Azmila Abd Aziz menunjukkan makanan tradisional negara Jepun, Mochi yang dijual pengusaha Jepun di negeri Kedah ketika pameran halal antarabangsa Malaysia 2016 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.