KEMERIAHAN penduduk menyertai Karnival Tangkap Ikan di Kampung Senang, Kota Jembal, semalam.
Siti Nor Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Kemesraan dan semangat bekerjasama terserlah apabila penduduk Kampung Senang, Kota Jembal, di sini berhimpun untuk aktiviti menangkap pelbagai jenis ikan air tawar di kolam terbiar di kampung itu, semalam.

Aktiviti berlangsung sejak 26 tahun lalu sempena musim kemarau itu memerlukan peserta berlari di dalam kolam terbiar dan menangkap ikan daripada jenis keli, haruan, sepat dan puyu.

Walaupun penuh lumpur dan mengotorkan pakaian dipakai, kira-kira 10 penduduk menyertai acara itu tidak jijik, sebaliknya kekal bersemangat demi mendapatkan seberapa banyak tangkapan.

Hasil tangkapan selama tiga jam bermula 9 pagi hingga 12 tengah hari, 100 kilogram (kg) ikan pelbagai jenis berjaya dinaikkan dan kemudian diagihkan kepada penduduk kampung sebagai tanda muafakat dan penghargaan menyertai aktiviti itu.

Ketua Kumpulan Karnival Tangkap Ikan, Mazlan Busu, 50, berkata, program berkenaan dianjurkan sekali untuk setiap tiga tahun sempena kemarau, disertai 10 penduduk manakala lebih 100 pengunjung hadir memberi sokongan.

Katanya, program itu sudah bermula puluhan tahun lalu sebagai usaha untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara penduduk.

“Peserta bersemangat apabila masing-masing bekerjasama menangkap ikan dengan menggunakan tangan dan jaring buatan sendiri.

“Melihat hasil di luar jangkaan menjadikan peserta terus gigih menangkap ikan walaupun di bawah panas terik matahari untuk mencapai sasaran 100kg ikan.

“Kolam terbiar ini sentiasa menjadi tumpuan pemancing dan kami anjurkan program ini tiga tahun sekali bagi mengumpul masyarakat setempat,” katanya ketika ditemui di Kampung Senang, di sini, semalam.

Peserta, Muhd Faris Abdul Halim, 29, yang menyertai program berkenaan buat kali kelima berkata, golongan muda dan dewasa bekerjasama menangkap ikan untuk mendapatkan hasil yang banyak.

Katanya, selain itu, ia juga sebagai inisiatif penduduk kampung untuk mencuci kawasan kolam terbiar yang dipenuhi semak supaya tidak menjadi tempat pembiakan nyamuk.

“Kami mahu kawasan ini terjaga, sekali gus mengelak ia menjadi tempat tinggal haiwan liar terutama ular,” katanya.

Peserta, Mohamad Fakhram Nor Azmi, 17, yang menyertai program itu kali kedua berkata, dia seronok apabila dapat menangkap ikan dalam jumlah luar biasa.

“Ia di luar jangkaan kerana sekali ‘timba’ dengan jaring, ia dipenuhi pelbagai jenis ikan. Saya akan terus menyertai program ini pada masa akan datang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 April 2016 @ 7:40 AM