PEMIMPIN negara Islam yang menyertai persidangan OIC di Turki.
Tuan Asri Tuan Hussein melaporkan dari Turki

Istanbul: Kepemimpinan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan negara anggotanya meletak harapan tinggi dan mengharapkan sumbangan Malaysia untuk memastikan keberkesanan peranan pertubuhan itu dalam menangani cabaran dunia Islam masa kini.

Penyertaan dalam Sidang Kemuncak OIC ke-13 yang berakhir di sini semalam juga secara keseluruhannya berjaya menaikkan profil Malaysia dalam memberi sumbangan kepada OIC.

Itu rumusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selepas mengharungi jadual padat sepanjang dua hari menghadiri Sidang Kemuncak kali ini yang turut dipenuhinya dengan enam perbincangan dua hala, selain majlis makan malam rasmi.

Menurutnya, secara keseluruhan Malaysia dihormati dan dianggap anggota penting di dalam OIC untuk menyumbang peranan bagi menangani pelbagai cabaran dihadapi negara anggota serta seluruh umat Islam.

Beliau berkata, perkara itu disuarakan kepadanya ketika pertemuan dengan Setiausaha Agung OIC, Iyad Ameen Madani, Presiden Turki yang juga Pengerusi OIC, Recep Tayyep Erdogan serta Perdana Menterinya, Ahmet Davutoglu.

“Kita dapat menaikkan profil Malaysia dalam konteks peranan kita dalam OIC (hasil penyertaan dalam Sidang Kemuncak kali ini).

“Apabila saya berbincang dengan Setiausaha Agung OIC, Erdogan dan Perdana Menteri Turki serta pemimpin lain, mereka meletakkan harapan tinggi kepada Malaysia untuk membantu sekretariat OIC dan Turki menghadapi cabaran dalam OIC serta dunia Islam keseluruhannya,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini.

Pemimpin utama 57 negara anggota OIC menghadiri Sidang Kemuncak ke-13 ini bagi membincangkan pelbagai isu dan cabaran dunia Islam masa kini termasuk ancaman keganasan dan ekstremisme, Islamophobia selain konflik di Palestin.

Ini kali pertama Turki menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak OIC dengan tema Perpaduan dan Penyatuan Demi Keadilan dan Keamanan. Malaysia berpengalaman memegang tanggungjawab itu ketika persidangan ke-10 pada 2003.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 April 2016 @ 5:10 AM