TINJAUAN keadaan air terjun yang mengalir ke Loji Rawatan Air Taman Botani, Georgetown, Pulau Pinang.
myMetro

Georgetown: Pulau Pinang dijangka menghadapi krisis bekalan air bersih mulai Jun depan sekiranya tidak menerima hujan dalam masa terdekat berikutan cuaca panas dan kering yang berterusan.

Ketua Pegawai Eksekutif PBA Holdings Berhad (PBAHB) dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) Datuk Jaseni Maidinsa berkata, paras air di dua empangan di negeri ini iaitu Empangan Air Itam dan Teluk Bahang sudah berkurangan.

Beliau berkata, sehingga kelmarin, paras air di Empangan Air Itam adalah 59.9 peratus dan mampu bertahan untuk 59 hari manakala Empangan Teluk Bahang pada 61.5 peratus iaitu untuk bekalan 187 hari.

“Paras air di kedua-dua empangan di negeri ini sudah mula berkurangan, jadi penduduk perlu lebih berjimat menggunakan air bersih bagi aktiviti harian termasuk mandi dan mencuci.

“Sekiranya tiada hujan sehingga Jun depan, Pulau Pinang akan menerima nasib sama seperti negeri lain termasuk Melaka, Johor, Sabah dan Negeri Sembilan yang mengalami masalah kekurangan air bersih,” katanya selepas melawat loji takungan air di Taman Botanikal, di sini, semalam.

Beliau berkata, PBAPP mula melaksanakan sistem penyaluran air secara kawalan sejak Februari lalu dan membekalkan air kepada penduduk pada kadar minimum bagi kegunaan harian.

“Sistem kawalan penyaluran air ini dijangka dapat menampung bekalan sumber air bersih sehingga Jun depan dan sekiranya tiada hujan, negeri ini akan menghadapi masalah air.

“Sumber air mentah untuk loji rawatan air terbesar dan paling penting, Loji Rawatan Air Sungai Dua di Seberang Perai Utara adalah Sungai Muda.

“Sehingga 14 April lalu, paras air Sungai Muda adalah 2.44 meter dan kami masih mampu untuk memperoleh air mencukupi untuk rawatan di Sungai Dua.

“Bagaimanapun, jika air Sungai Muda turun di bawah paras kritikal 1.50 meter, tiada cara lain untuk Pulau Pinang dan PBAPP untuk memperoleh air mentah lain untuk menampung kekurangan 80 peratus itu.

“Jadi kami berharap Kerajaan Persekutuan akan bertindak segera membuat pembenihan awan untuk mengelakkan kekurangan air di Wilayah Utara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 April 2016 @ 5:26 AM