API menyambar bahagian bumbung rumah panjang yang terbakar.
API menyambar bahagian bumbung rumah panjang yang terbakar.

Sibu: “Saya mulanya terdengar bunyi letupan seperti mercun sebelum jeritan orang ramai menyatakan rumah panjang kami terbakar,” kata Meliza Jemat, 29.

Seramai 186 penghuni daripada 23 keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila Rumah Panjang Saba Skim Gempuru Skuau musnah dalam kebakaran, semalam.

Meliza berkata, dalam kejadian jam 7 pagi, dia dan keluarga tidak sempat menyelamatkan barang berharga kerana api merebak pantas.

“Sebaik mendengar jeritan penduduk, tiba-tiba keadaan di rumah panjang jadi panas akibat bahang api.

“Saya terus membantu keluarga dan penduduk lain keluar dari rumah panjang,” katanya.

Mangsa, Siong Sibau berkata, ketika kejadian dia berada di beranda sebelum dikejutkan bunyi letupan dari pintu rumah berkenaan.

“Apabila asap tebal mula memenuhi ruang rumah panjang, saya membuka pintu rumah yang terbakar dan mendapati api menyambar bilik tidur,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sungai Merah Augustine Enyang berkata, pihaknya menerima panggilan jam 7.48 pagi berhubung kejadian itu sebelum tiba ke lokasi jam 8.35 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 April 2016 @ 5:47 AM