MOHD Rawi (kanan) mendengar luahan hati Rengaiya di Pusat Khidmat dan Aduan BN Perak.
Muhamad Izzat Nasuruden
am@hmetro.com.my


Ipoh: Penderitaan dialami tiga beranak hingga terpaksa tinggal dalam sebuah kereta lebih sebulan lalu berikutan kesempitan hidup mendapat perhatian beberapa pihak yang menghulurkan bantuan.

R Rengaiya, 51, bersama isteri, N Karnagi, 44, yang berstatus orang kurang upaya (OKU) kerana lumpuh kedua-dua kaki hingga paras pinggang serta anak tunggal mereka R Vikenshwaran berusia tujuh tahun kini lega apabila bakal mendapat bantuan rumah untuk sementara waktu.

Ketua Urus Setia Pusat Khidmat Aduan Barisan Nasional (BN) Mohd Rawi Abdullah pada sidang media semalam berkata, pihaknya sedang berusaha mendapatkan sebuah rumah bagi membantu keluarga berkenaan.

Menurutnya, sebuah rumah sewa untuk keluarga berkenaan sudah ditemui, tetapi tidak sesuai kerana keadaan isteri Rengaiya yang lumpuh.

“Rumah sedia ada berada di tingkat atas pangsapuri yang menyukarkan Rengaiya membawa isterinya keluar masuk. Kami akan cuba mencari rumah di tingkat bawah dan selepas itu akan cuba uruskan bantuan lain,” katanya.

Katanya, pihaknya juga cuba untuk menyelesaikan urusan persekolahan anak Rengaiya yang sudah lebih sebulan tidak bersekolah.

Orang ramai yang mahu menyalurkan bantuan kepada keluarga berkenaan boleh datang ke pejabat atau menghubungi talian 016-5546655 atau 019-5168338.

Rengaiya ketika ditemui pula berkata, dia gembira dengan bantuan akan disalurkan Pusat Khidmat BN dan berharap mendapat rumah untuk didiami secepat mungkin.

Harian Metro semalam menyiarkan kisah tiga beranak yang dihimpit pelbagai masalah hingga terpaksa tinggal dalam kereta lebih sebulan lalu di sekitar Kampar, Bandar Seri Botani dan Gopeng menyebabkan anak lelaki keluarga itu, Vikenshwaran yang tidak bersekolah lebih sebulan lalu berikutan kesempitan hidup.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 April 2016 @ 6:30 AM