Muhd Izawan Baharin dan Yusmizal Dolah Aling dan Mior Azlan Kamarulbaid


Kuala Lumpur: “Ramai yang meminati saya termasuk dalam kalangan bukan Islam,” kata penceramah antarabangsa, Dr Zakir Naik mengenai sokongan diterima sejak kunjungan ke negara ini sejak dua minggu lalu.

Beliau bersyukur kerana bertemu ramai individu termasuk bukan Islam yang memberitahu meminati siri ceramahnya.

“Mungkin ada yang tidak senang (dengan kunjungannya), tetapi alhamdulillah masih ada yang meminati syarahan saya.

“Saya bertemu dengan ramai bukan Islam yang memberitahu mereka meminati siri syarahan saya. Semasa syarahan saya di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, individu bukan Islam mengucap kalimah syahadah.

“Selain itu, ada individu bukan Islam mengakui dalam bahasa Inggeris mengenai keesaan Allah dan Nabi Muhammad SAW pesuruh Allah,” katanya yang ditemui Harian Metro di sini, semalam.

Ditanya mengenai teknik kekuatan memorinya yang mampu mengingati bukan saja kitab suci al-Quran malah kitab agama lain, beliau memberitahu tiada sebarang rahsia.

“Apa yang penting ialah niat kita mahu membantu agama Allah dan Allah pasti menghulurkan bantuan. Perkara ini banyak dinyatakan dalam al-Quran umpamanya dalam surah al-Ankabut ayat 69.

“Dalam memahami dan mengingati ayat suci al-Quran, ada teknik tertentu yang memerlukan masa untuk mempelajarinya namun perkara paling penting ialah niat,” katanya.

Sementara itu, EXCO Pemuda UMNO Dr Fathul Bari Mat Jahya berkata, kedatangan Dr Zakir perlu dialu-alukan demi kebaikan agama dan beliau layak berhujah mengenai Islam.

“Mungkin ada dalam kalangan kita berselisih pendapat dan ia tidak selesai sehingga hari kiamat, jadi wajar diterapkan umat Islam sentiasa berlapang dada.

“Menerusi cara itu semua orang boleh menerima perbezaan dan menguruskannya dengan cara dianjurkan agama sekali gus mengukuhkan kekuatan ummah dalam usaha meninggikan syiar Islam,” katanya.

Menurutnya, Islam menggariskan banyak cara untuk menguruskan perselisihan pendapat antaranya berpegang teguh dengan sunnah dan tidak berfikiran sempit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 April 2016 @ 7:16 AM