DR TENGKU Asmadi (kiri) bersama Dr Nazri Khan (tengah) pada majlis Santai Labur sempena Minggu Saham Amanah Malaysia 2016 (MSAM 2016) yang dipengerusikan Amin Idris, semalam.
Mohd Hafizee Mohd Arop


Tapah: Permodalan Nasional Berhad (PNB) menyediakan pelan pelaburan holistik selari dengan tuntutan digariskan melalui maqasid syariah bagi membantu masyarakat Bumiputera.

Ahli Ekonomi yang juga Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata, konsep maqasid syariah memberi fokus kepada lima perkara iaitu melindungi nyawa, harta, akal, keturunan dan iman. Ia bertepatan dengan pelan pelaburan PNB yang melindungi harta.

Beliau berkata, PNB mempunyai pelbagai produk yang boleh didefinisikan dari segi Islam sebagai syumul, sekali gus membolehkan orang ramai memilih produk diinginkan dan pelaburan PNB paling rendah risiko berbanding unit amanah lain.

“Pelabur tidak perlu risau kerana PNB mempunyai jaminan daripada kerajaan dan semua produk PNB dikelolakan pakar syariah dalam dan luar negara.

“Pertumbuhan ekonomi negara dijangka meningkat dalam separuh kedua tahun ini dan inilah masa untuk melabur,” katanya pada sidang media selepas Program Santai Labur bertajuk ‘Pelabur Bijak Dari Perspektif Maqasid Syariah’ sempena Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2016 di Stadium Mini Tapah, semalam.

Dalam Program Santai Labur PNB bertajuk ‘Perancangan Persaraan: Dari Perspektif Syariah’, Ahli Panel Syariah PNB yang juga Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) Datuk Noh Gadut meminta umat Islam merebut peluang melabur dalam skim pelaburan dana-dana unit amanah PNB tanpa keraguan kerana ia mampu menjamin masa depan.

Menurutnya, ia sekali gus dapat membawa mereka keluar daripada kepompong kemiskinan dan tiada sebarang keraguan untuk melabur dalam dana unit amanah PNB selepas Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa ia dibolehkan.

Program itu yang bermula semalam hingga Selasa mengupas 11 topik membabitkan perancangan kewangan, pelaburan dan maqasid syariah yang dibincangkan 22 panel jemputan terdiri cendekiawan Islam, ketua eksekutif Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), penasihat pelaburan dan perancangan kewangan, hakim syarie serta ahli ekonomi.

Beberapa selebriti seperti Jehan Miskin, Fara Fauzana, Fasha Sandha, dan Neelofa turut berkongsi pengalaman melabur dan merancang kewangan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 April 2016 @ 9:46 AM