KERETA dipandu mangsa melanggar lori dalam kemalangan di Kilometer 392.4 Lebuhraya Utara-Selatan.
KERETA dipandu mangsa melanggar lori dalam kemalangan di Kilometer 392.4 Lebuhraya Utara-Selatan.
myMetro

Tanjung Malim : Seorang guru maut, manakala isteri, ibu mentua dan anak sulung parah selain dua lagi anak cedera ringan selepas kereta dinaiki bertembung dengan sebuah lori yang terbabas di Kilometer 392.2, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.15 petang, mangsa guru Sekolah Kebangsaan (SK) Siputeh, Batu Gajah, Zul Haiza Asmar Marzuki, 34, dari Taman Mergong Indah, Alor Setar, Kedah maut di tempat kejadian kerana cedera parah di kepala dan beberapa anggota badan.

Isterinya, yang juga Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Hospital Bahagia Ulu Kinta, Rafidah Othman, 32, dari Kampung Seri Mariah, Batu Gajah, Perak pula cedera di paha dan patah kaki kiri, manakala dan ibunya, Asiah Ahmad, 64, cedera di paha serta anak sulong mangsa, Nur Zahrah Iffah, 6, cedera parah di kepala dan perut.

Manakala, dua lagi anak mangsa, Nur Zafeerah, 4, cedera ringan di kepala dan anak bongsunya, Muhammad Zumar, 2, turut tercedera dan mendapat rawatan di Hospital Slim River, sejurus berlakunya kemalangan ngeri itu.

Dipercayai mangsa dalam perjalanan pulang dari Putrajaya menguruskan urusan kenaikan pangkat isterinya, namun belum sempat untuk meraikan apabila terbabit dalam kemalangan yang meragut nyawa itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muallim Superintendan Ahmad Mat Isa berkata, kemalangan itu dipercayai berpunca daripada sebuah lori yang membawa muatan barangan elektrik dari arah Ipoh menghala ke Kuala Lumpur yang mengelak sebuah kenderaan di bahagian hadapan lalu terbabas ke kanan jalan.

Katanya, pemandu lori gagal mengawal kenderaan lalu melanggar besi pembahagi jalan dan masuk ke laluan bertentangan dan pada masa sama kereta jenis Proton Saga dipandu mangsa dari arah Kuala Lumpur menghala ke Ipoh tiba, lalu merempuh lori berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 April 2016 @ 5:36 AM