SEORANG penunggang motosikal diperiksa pegawai trafik IPD Kajang di Taman Desa Baiduri, semalam.
Mohd Fadly Samsudin


Kajang: Remaja lelaki berusia 16 tahun berbangga menyatakan dia pernah ditahan polis atas kesalahan mencuri motosikal malah positif dadah ketika ditahan pada Ops Advokasi di sekitar Taman Desa Baiduri di sini, jam 12.45 tengah hari semalam.

Remaja terbabit ditahan kerana tidak memakai topi keledar.

Hasil, pengakuan remaja itu, anggota trafik melakukan semakan dan mendapati dia memiliki rekod terbabit.

Pada operasi bermula jam 10 pagi itu, anggota trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang diketuai Deputi Superintendan Azmi Wahid melakukan pemeriksaan di beberapa kawasan termasuk Plaza Tol Batu 11, Taman Desa Baiduri, Damai Perdana dan Minang Ria.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Othman Nanyan berkata, operasi dijalankan selepas menerima aduan orang awam memaklumkan ada penunggang motosikal yang melanggar peraturan jalan raya.

“Ia termasuk penunggang yang tidak menggunakan lorong motosikal disediakan ketika melalui Plaza Tol Batu 11.

“Kami turut dimaklumkan bahawa ramai penunggang dalam kalangan pelajar menunggang motosikal tanpa lesen serta tidak memakai topi keledar,” katanya.

Pada operasi yang berakhir jam 1 tengah hari itu, 155 kenderaan diperiksa membabitkan 125 motosikal dan 30 kereta.

“Kesalahan dibuat membabitkan tidak mempunyai lesen, tidak memakai topi keledar, tidak menggunakan lorong motosikal, lesen tamat tempoh, tiada cermin sisi dan cukai jalan tamat tempoh.

“Berdasarkan jumlah saman yang dikeluarkan, kami akan meneruskan operasi ini untuk memastikan semua pengguna jalan raya mematuhi peraturan,” katanya.

Beliau turut menasihati ibu bapa supaya tegas dan tidak membenarkan anak mereka menunggang motosikal tanpa lesen.

“Perkara ini boleh menimbulkan kesulitan sekiranya berlaku perkara tidak diingini pada anak mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 April 2016 @ 7:17 AM