KEADAAN Hutan Simpan Hulu Langat Selatan yang musnah akibat kebakaran.
KEADAAN Hutan Simpan Hulu Langat Selatan yang musnah akibat kebakaran.
myMetro

Kuala Langat: Operasi memadam kebakaran Hutan Simpan Kuala Langat Selatan dekat sini, ditamatkan kira-kira jam 2 petang semalam selepas lebih sebulan terbakar.

Hutan simpan yang terbakar membabitkan 24 hektar kawasan itu berjaya dipadamkan sepenuhnya semalam sejak mula terbakar pada 31 Mac lalu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Banting Mohd Jaslizad Jalil berkata, selepas operasi pemadaman ditamatkan, pihaknya menyerahkan kepada Jabatan Perhutanan untuk memantau keadaan hutan berkenaan.

“Jabatan Perhutanan akan memantau kawasan yang terjejas akibat kebakaran itu bagi memastikan tidak berlaku lagi kebakaran.

“Hujan lebat sejak beberapa hari lalu turut membantu kerja pemadaman hutan itu akibat cuaca panas,” katanya, semalam.

Beliau berkata, selain bomba, pihaknya turut menerima bantuan daripada pelbagai agensi lain yang turut bekerjasama dalam operasi memadamkan kebakaran berkenaan.

Semalam, akhbar ini melaporkan hujan lebat membantu usaha memadamkan kebakaran yang membabitkan empat hektar kawasan hutan yang masih terbakar di situ.

Sebelum ini operasi pemadaman hutan tanah gambut itu menghadapi kesukaran berikutan cuaca panas yang melanda negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mei 2016 @ 7:18 AM